Tuesday, November 24, 2009

SENARAI PENUH PIMPINAN GPMS SESSI 2009 - 2012


DI HARAP PIMPINAN BARU MAMPU MEMBERI NAFAS BARU DALAM MEREALISASI PERJUANGAN GPMS.. BELAJAR TERUS BELAJAR

Monday, November 23, 2009

JAIS ABDUL KARIM PRESIDEN GPMS BARU - TRANSFORMASI GPMS BERMULA

Pemilihan barisan kepimpinan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) hari ini menyaksikan Naib Presiden I, Jais Abdul Karim dilantik secara automatik sebagai presiden baru pertubuhan pelajar itu selepas penyandangnya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengumumkan tidak mempertahankan jawatan itu semalam.

Turut dilantik ialah Naib Presiden II, Rosdi Amir sebagai timbalan presiden baru pertubuhan itu selepas keputusan jawatankuasa kepimpinan baru GPMS bagi sesi 2009/2012 diumumkan pada pukul 7 malam tadi.

Pelantikan Jais dan Rosdi diputuskan ekoran tiada pencalonan dikemukakan untuk kedua-dua jawatan. Berikutan itu hanya empat jawatan Naib Presiden serta enam Ahli Majlis Tertinggi (AMT) pertubuhan itu dipertandingkan dalam pemilihan tersebut.

Pemilihan jawatankuasa kepimpinan baru GPMS diadakan kira-kira pukul 11 pagi ini melibatkan 539 orang perwakilan pertubuhan itu di seluruh negara sempena Persidangan Agung Tahunan Ke-55 GPMS di Dewan Sri Budiman, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini.

Tiga Naib Presiden baru dipilih iaitu Pengerusi GPMS Perak, Hasnil Fairus Hushin Amri; Timbalan Pengerusi GMPS, Wilayah Persekutuan, Ezarudin Abdul Rahman; Yang Dipertua GPMS Kuala Lipis, Hishamuddin Abdul Rahman.

Pengerusi GPMS Kelantan, Rafidah Mohd. Ariffin juga dilantik Naib Presiden (Wanita).

Selain itu, jawatan ahli Majlis Tertinggi pula dimenangi oleh Ismadee Asmara Ishak, Mohd. Redzuan Mohamed Yusof, Mohd. Alif Anas Md. Nor, Khairul Adha Madzlan, Hazzaini Hashim serta Azham Abara Ahmad.

Untuk jawatan pengerusi tetap dan timbalan pengerusi tetap masing-masing dimenangi Hassanul Amir Abdul Halim dan Tajul Azmir Mustapha manakala jawatan Ketua Penerangan GPMS, kekal disandang oleh Irmohizam Ibrahim.

Sementara itu, Jais, 36, ketika ditemui selepas pengumuman tersebut berkata, beliau sedar akan tanggungjawab besar dan penuh cabaran yang menantinya.

Bagaimanapun katanya, beliau telah mengatur perancangan awal bagi meneruskan hala tuju GPMS yang diperjuangkan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu.

Malah, bersama kepimpinan baru, GPMS akan mengkaji had keahlian sebelum meminda konsep keahlian yang baru selain mahu menjadikan GPMS sebuah pertubuhan yang tidak memihak kepada mana-mana parti politik.

"Tiga penanda aras ditetapkan iaitu supaya pertubuhan ini tidak berpihak pada mana-mana parti politik sebaliknya menjurus kepada kepentingan tahap pendidikan masyarakat Melayu.

"GPMS sebenarnya juga dikenalpasti sebagai gedung untuk melahirkan pemimpin dan untuk itu juga, kami akan meneruskan tradisi melahirkan lebih ramai mahasiswa yang berkebolehan untuk menjadi pemimpin. Malah, kami juga akan memperkasakan pelbagai program di peringkat cawangan bagi memperkuatkan lagi GPMS," ujarnya.

Jais seorang perunding motivasi memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Beliau menyertai GPMS sejak 1988 sebelum dilantik sebagai ahli Majlis Tertinggi pada tahun 1993 serta Naib Presiden 1 GPMS (2006).

GPMS Cawangan Wangsa Maju mengucapkan Tahniah kepada Yang Di Pertua GPMS Cawangan Wangsa Maju, En. Jais Abdul Karim yang telah diberi kepercayaan untuk menerajui Badan ini.

Semoga GPMS terus cemerlang dalam mengaplikasi perjuangan kita demi Agama, Bangsa dan Negara. Inilah 1Transformasi, hanya kita mampu melaksanakannya. Tahniah buat kesemua barisan kepimpinan baru.


Tuesday, November 10, 2009

JAIS ABDUL KARIM CALON PRESIDEN - CALON SESUAI, PEMBAKAR SEMANGAT GPMS

Sepertimana yang kita sedia maklum, kepada semua ahli GPMS, Perhimpunan Agung Tertinggi (PAT) akan berlangsung pada 20 hingga 22 November ini. Apa yang menarik pada tahun ini, akan berlakunya pemilihan bagi jawatan tertinggi, termasuklah jawatan Presiden di mana Datuk Seri Reezal Merican telah membuat kenyataan tidak mempertahankan jawatan tersebut.

Jais Abdul Karim, antara calon yang akan bersaing bagi jawatan Presiden. Beliau merupakan Naib Presiden GPMS dan Yang Di Pertua GPMS Cawangan Wangsa Maju. Bagi yang mengenali Jais Abdul Karim di dalam GPMS, mungkin akan menarik nafas lega jika beliau memenangi jawatan tertinggi ini. Krelibiliti dan kepimpinan beliau tidak perlu dipersoalkan lagi kerana beliau antara pemimpin GPMS yang berani ke depan menyuarakan pandangan beliau demi mempertahankan maruah Agama, Bangsa dan Negara.

Kelantangan beliau sebagai seorang pemimpin tidak harus dipertikaikan lagi. Antara isu yang beliau berani ke depan termasuklah isu Forum Majlis Peguam yang mendapat kiritikan dan tentangan hebat dari masyarakat kerana ianya seolah-olah mempertikaikan Agama Islam sebagai Agama rasmi. Beliau juga menjadi tulang belakang memperjuangkan pembelaan terhadap Allahyarham Wan Siti Farihan Bt Mohamed Hassan, Mahasiswa UKM, Jurusan Sarjana Sains Kimia Dan Teknologi Makanan, Tahun Kedua yang mati dalam keadaan misteri.

Jais Abdul Karim juga merupakan antara pemimpin GPMS yang paling aktif dan sentiasa turun padang memberi semangat kepada warga GPMS untuk terus berjuang. Oleh itu, tidak harus sesiapa mempertikaikan krelibiliti beliau untuk bertanding bagi jawatan Presiden GPMS.

Tidak ada pemimpin muda masa kini yang berani ke depan, menyuarakan pandangan, mengambil berat tentang masalah kami dan warga GPMS yang lain melainkan Jais Abdul Karim.
Beliaulah antara yang manaikkan semangat kami untuk terus bekerja keras dalam memperjuangkan misi dan visi GPMS.

GPMS Cawangan Wangsa Maju mengucapkan syabas kepada beliau. Kami akan menyokong kepimpinan beliau. Dan kehadiran beliau memimpin GPMS akan memberi satu transformasi baru dalam menghadapi cabaran di masa akan datang.


Saturday, September 19, 2009

SYAWAL BULAN KEMENANGAN - SELAMAT HARI RAYA

Kami dari pihak GPMS Cawangan Wangsa Maju ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Idulfitri, minal aidil wal faiizin. Semoga Syawal pada tahun ini memberi keinsafan buat kita semua.

Kami juga ingin memohon ampun dan maaf kepada semua rakan-rakan yang mengenali kami. Semoga Idulfitri pada tahun ini mengeratkan lagi hubungan kekeluarga di kalangan kita semua.

Salam Idulfitri..

Wednesday, September 16, 2009

KONVOI E KASIH WANGSA MAJU SELESAI - JUTAAN TERIMA KASIH UMNO WANGSA MAJU

Kami dari pihak GPMS Cawangan Wangsa Maju ingin mengucapkan Jutaan Terima Kasih khas buat Biro Kebajikan UMNO Bahagian Wangsa Maju yang telah menjemput kami bersama-sama dalam program Konvoi E Kasih Wangsa Maju. Banyak pengalaman yang kami perolehi melalui program ini. Kami juga dapat bersuai kenal dengan masyarakat setempat di sekitar Wangsa Maju terutamanya anak-anak yatim yang turut mendapat sumbangan E Kasih.

Jutaan Terima Kasih buat Setiausaha Politik Datuk Sri Najib selaku Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Dato' Shafei Abdullah yang memuji penglibatan kami ini. Pujian beliau sedikit sebanyak memberi semangat baru untuk kami terus terlibat dalam program-program amal sebegini.

Jutaan Terima Kasih juga kami berikan khas dari Barisan Exco GPMS Cawangan Khas UIAM dan IIC yang turut bersama-sama kami dalam menjayakan program ini. Semoga kita mendapat keberkatan dari Allah dan ianya dapat mengeratkan silaturrahim di kalangan kita.





YDP GPMS Cawangan Khas IIC, Sdra. Megat (kiri), AJK Biro Kebajikan UMNO Bahagian Wangsa Maju Pn. Zurina Rajab (tengah) dan Ketua Penerangan GPMS Cawangan Wangsa Maju, Sdra. Muhammad Radhi (kanan)




Timbalan YDP GPMS Cawangan Wangsa Maju, En. Shamsury Mohd Salleh selaku Pengerusi Majlis E Kasih Siri 3 di Masjid Jamek Sallahuddin Al Ayubi, Taman Melati.




Exco GPMS Cawangan Wangsa Maju, Sdri. Nuril (kiri), Wakil GPMS Cawangan khas IIC (tengah) dan Wakil Puteri UMNO Wangsa Maju bertindak sebagai penyambut tetamu.




Wakil GPMS Cawangan Khas IIC, Sdra. Syafiq sempat bergambar bersama anak-anak yatim yang mendapat sumbangan E Kasih.




2 Wakil GPMS membantu warga emas yang mendapat sumbangan E Kasih.

Wednesday, September 9, 2009

REEZAL MERICAN UNDUR DIRI - SIAPA BAKAL PRESIDEN GPMS BARU?

Kelmarin Presiden GPMS Kebangsaan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengumumkan secara rasmi tidak akan mempertahankan jawatan yang dipegang beliau kini. Berita ini juga menamatkan spekulasi yang timbul sebelum ini yang diuar-uarkan warga GPMS.

GPMS Cawangan Wangsa Maju menerima dan menyokong sebarang keputusan dari pihak Datuk Seri. Tidak dapat dinafikan, beliau telah menaikkan semangat baru buat kesemua warga GPMS sepanjang memegang jawatan ini.

Namun persoalan yang timbul, siapakah Presiden GPMS yang baru? Sehingga kini tiada sebarang pengumuman atau kenyataan dari mana-mana pihak terutamanya dari barisan AMT yang akan bertanding bagi jawatan ini.

Bagi pihak GPMS Cawangan Wangsa Maju, siapapun Presiden kami, itu bukan persoalannya. Apa yang diharapkan, bakal Presiden baru ini mampu memberi khidmat dan komitmen sepenuhnya kepada warga GPMS. Seorang Presiden juga harus turun padang bagi memberi semangat dan inspirasi buat warga GPMS untuk terus berjuang memperkasa generasi muda Melayu.

Jiwa seorang pemimpin seperti Ayahanda Aminuddin Baki wajar dijadikan contoh. Beliau tidak pernah berputus asa dan sentiasa berusaha untuk mengangkat darjat anak-anak Melayu.

Inilah jiwa seorang pemimpin GPMS. Kalimah 4 SEDAR menjadi nadi perjuangan, Agama, Bangsa dan Negara terus diperjuang hingga hujung nyawa. Kita tunggu, siapa yang bakal bertanding untuk jawatan tertinggi ini.

Friday, September 4, 2009

'MALAYSIA SATU' LAGU TEMA 1MALAYSIA - IKUT SELERA ANAK MUDA


Lagu 'Malaysia Satu', yang dinyanyikan oleh Faizal Tahir, hasil gubahan Audi Mok dengan lirik oleh Nur Fatima, pada hari Rabu diumumkan sebagai pemenang Pertandingan Lagu 1Malaysia Kita. Mok memberitahu pemberita di Putrajayai, lagu itu diilhamkan daripada konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Apabila kami mendapat tahu mengenai pertandingan ini, kami memutuskan untuk menjadikannya satu kenyataan. Iramanya lebih rancak dan kami mahu menjadikan lagu ini lebih moden dan boleh didendangkan di mana-mana saja, bukannya kedengaran seperti sebuah lagu patriotik tradisional," katanya.

Faizal juga kelihatan gembira semasa mendendangkan lagu itu di hadapan penonton termasuk Najib, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Nur Fatima berkata beliau mahu lagu itu menggambarkan sumbangannya kepada penduduk negara ini. "Saya merasakan ia sebagai tugas saya dan sebagai seorang rakyat Malaysia, menjadi tanggungjawab saya untuk menulis sesuatu yang dapat mencerminkan masyarakat Malaysia, budaya kita, sumbangan kita dan sebagainya," katanya.

Bernama melaporkan Najib ketika mengumumkan pemenang pertandingan itu, turut menyampaikan cek berjumlah RM25,000 dan ketika berucap, beliau berharap lagu itu akan menjadi inspirasi untuk menghayati makna dan maksud 1Malaysia.

"Satu Malaysia bermatlamat menjurus ke arah perpaduan dan keharmonian untuk melonjakkan negara kita menjadi negara yang hebat dan berjaya di mana ia berasaskan Satu Impian, Satu Harapan, Satu Bangsa, Satu Negara, Satu Malaysia," katanya.

Najib berkata lagu itu juga lebih mesra rakyat memandangkan proses untuk memilih pemenangnya terletak di tangan orang ramai yang mengundi lagu pilihan mereka dalam kalangan 10 lagu yang berjaya ke peringkat akhir menerusi laman web rasmi 1Malaysia dan HOT FM.

"Cara kita pilih merupakan satu cara baru dan bukan konvensional, maknanya kita nak lagu ini sesuai dengan tagline kita 1Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan supaya ia lahir dan terbit daripada hati nurani rakyat sendiri.

"Rakyat mencipta lagu itu, rakyat ilhamkan seni kata, rakyat dendangkan lagu itu dan media medium untuk penyiaran lagu itu dan akhir sekali rakyat yang tentukan lagu kegemaran mereka," kata Najib.

Sementara itu pada sidang media kemudian, Najib berkata beliau menghormati pilihan rakyat yang memilih lagu yang berirama rancak dan bersemangat membuatkan iramanya sesuai dengan cita rasa golongan muda.

Beliau berkata lagu itu juga sesuai untuk dipeRdengarkan di peringkat antarabangsa tetapi memerlukan sedikit pengubahsuaian memandangkan iramanya agak tinggi yang tidak semua orang mampu menyanyikannya.

"Lagu itu juga akan dinyanyikan bersama-sama lagu keluaran RTM untuk acara rasmi," katanya.

GPMS Cawangan Wangsa Maju mengucapkan syabas buat pemenang dan di harap lagu ini menjadi peransang masyarakat Malaysia terutamanya generasi muda untuk bersatu padu dan memelihara keamanan yang dikecapi.

Tuesday, September 1, 2009

KONVOI E KASIH WANGSA MAJU - GPMS WANGSA MAJU JEJAK MASYARAKAT

GPMS Cawangan Wangsa Maju, Cawangan Khas UIA dan IIC telah mengikuti program Konvoi E Kasih - Derma Wangsa Maju yang dianjurkan oleh Biro Kebajikan UMNO Bahagian Wangsa Maju. Atas jemputan Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju Dato' Shafei Abdullah, pihak kami secara sukarela terlibat dalam program amal ini. Derma ini akan diberikan pada masyarakat Wangsa Maju mengikuti kategori iaitu Anak Yatim, Ibu Tunggal, Warga Emas, Fakir Miskin dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Selain mendekati masyarakat Wangsa Maju, pihak kami juga dapat bersuai kenal dengan beberapa anak-anak muda terutamanya anak-anak yatim yang tinggal di kawasan Wangsa Maju. Terdapat 4 Siri program E Kasih sepanjang bulan Ramadhan.

Siri pertama telahpun berakhir pada Sabtu lepas. iaitu di kawasan Seksyen 1 hingga Seksyen 5 Wangsa Maju. Siri Kedua akan diteruskan pada Rabu ini (2 September 2009) di kawasan Taman Setapak hingga ke kawasan Batu 4. Pada 12 dan 13 September pula konvoi E-Kasih diteruskan di kawasan Taman Bunga Raya hingga ke kawasan Taman Melati.

Berikut merupakan gambar-gambar sekitar Program E-Kasih bagi Siri Pertama pada Sabtu lepas.




Wednesday, August 26, 2009

AL FATIHAH BUAT DR. ISMAIL - SEORANG IKON RAKYAT MALAYSIA

Kita kehilangan seorang ikon yang menjadi inspirasi rakyat Malaysia. Senator Datuk Dr Ismail Salleh meninggal dunia semasa dalam penerbangan dari Beijing ke Kuala Lumpur melalui Singapura jam 3.50 pagi Khamis. Allahyarham,62 merupakan orang cacat penglihatan pertama dilantik sebagai seorang Senator. Beliau terkenal sebagai tokoh akademik dan aktivis ekonomi.

Allahu Rahmanur Rahim. Perginya seorang ikon yang disegani di bulan Ramadhan. Allah amat menyayangi beliau. Beliau seorang tokoh yang unik dan berkarisma. Beliau juga menjadi inspirasi buat Orang Kurang Upaya (OKU) yang bercita-cita menjadi seperti beliau.

Beliau telah membuktikan kecacatan tidak menghalang kita untuk berjaya dan menyumbang pada Negara. Tugas arwah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Twintech Holdings dan Naib Canselor Universiti Kolej Antarabangsa Twintech tidak menghalang beliau untuk memperjuangkan hak-hak dan kepentingan Orang Kurang Upaya (OKU). hilangnya sebuah permata.


Al Fatihah buat Dr. Ismail Salleh...........

Tuesday, August 25, 2009

PAS MENANG PERMATANG PASIR - ADAKAH ISLAM AKAN TERBELA DI PENANG?

PAS mengekalkan kemenangan di Permatang Pasir. Itu yang kedengaran di seluruh Malaysia malam tadi. GPMS mengucapkan tahniah buat PAS atas kemenangan mereka dan berharap BN pimpinan UMNO tidak berputus asa dan meneruskan perjuangan anda di bawah kepimpinan Dato' Sri Najib Tun Razak.

Apa yang diharapkan dari pihak GPMS Cawangan Wangsa Maju, janji PAS yang telah dipegang sejak dahulu lagi iaitu untuk mendaulatkan Syiar Islam dalam pemerintahan. akan dapat dilaksanakan dengan penuh berhemah. Inilah pegangan anda sejak dahulu. Oleh itu, aplikasi pendirian anda di Pulau Pinang kerana anda kini bersama Barisan rakan-rakan seperjuangan anda iaitu DAP sebagai parti dominan di Pulau Pinang dan PKR.

Kami agak kecewa kerana banyak isu berkenaan dengan Islam di Negeri-Negeri yang diperintah Pakatan tidak dibela dengan sewajarnya dari pihak PAS. Ini akan memberi kesan kepada masyarakat yang meletakkan harapan yang tinggi kepada anda sewaktu PRU12 dahulu.

PAS, Parti Islam SeMalaysia. Jangan pula Datuk Nik Abdul Aziz sahaja yang mencanang satu dunia tentang perjuangan Islam, tapi anak-anak buahnya buat endah tak endah kerana agenda politik peribadi masing-masing. Jangan hanya Islam pada nama, tapi tiada bezanya dari struktur kepimpinan. Jika anda kata parti anda lebih menekankan Islam sebagai perjuangan syahid anda, buktikan. Sungguhpun anda bersama sebuah parti yang agak panas mendengar tentang perjuangan Islam, iaitu DAP, jangan biarkan ianya hanya tinggal nama.

GPMS Cawangan Wangsa Maju sentiasa menyokong sebarang usul atau perjuangan yang membela Agama, Bangsa dan Negara tidak kira dari kalangan PAS atau UMNO atau mana-mana badan. Tetapi jika ianya tidak dibuktikan melalui perlaksanaan, jika ianya hanya sekadar slogan, jika ianya digunakan untuk kepentingan peribadi, ia perlu dinyahkan serta merta. Inilah pendirian kami.

Friday, August 21, 2009

SALAM NUR RAMADHAN - ANAK MUDA, BERPUASALAH !!!

Pihak GPMS Cawangan Wangsa Maju mengambil kesempatan di sini mengucapkan Salam Nur Ramadhan buat semua umat Islam di Malaysia. Sememangnya kita menantikan bulan yang mulia ini. Kemeriahan di bulan Ramadhan amat kita nanti-nantikan kerana ianya adalah kunci perpaduan ummah.

Buat semua pelajar dan belia Melayu, jangan sesekali kita melanggar Rukun Islam ini. Janganlah sesekali memalukan Agama kita dengan perbuatan kita. Anak-anak muda dari Agama dan Bangsa lain akan memandang rendah kepada kita kerana kita sendiri tidak mampu melaksanakan tuntutan agama.

Kami juga menyeru semua parti-parti politik menghentikan sebarang bentuk hinaan, kutukan dan makian sesama kita kerana ianya bukan satu budaya yang baik di bulan ini. Marilah sama-sama kita memfokuskan untuk beribadah kepada Allah, meminta agar disatukan sekalian umat Islam dan elakkan dari sebarang perpecahan.

Kami berharap hari pengundian PRK Permatang Pasir pada minggu hadapan akan berlangsung secara aman tanpa sebarang insiden pergaduhan. Lakukanlah tanggungjawab dengan penuh berhemah dan aman.

Salam Nur Ramadhan ikhlas dari kami GPMS Cawangan Wangsa Maju.

Thursday, August 20, 2009

RAKAN MUDA KE LUAR NEGARA - REMAJA WAJAR SERTAI NGO'S.

Kementerian Belia dan Sukan bercadang mengembangkan program Rakan Muda ke luar negara supaya pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di sana dapat bergiat dalam kegiatan sukarela, kata menterinya, Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis pelancaran Larian Antarabangsa Ekiden di Putrajaya, Rabu, Shabery berkata, usaha juga akan dibuat bagi menggalakkan pelajar-pelajar Malaysia di universiti luar negara menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan sukarela dan juga bergiat dalam kegiatan kemasyarakatan.

"Saya mahu remaja dan belia, terutama pelajar Malaysia di luar negara membawa nama Malaysia di mana-mana mereka berada. Mereka harus mendampingi masyarakat setempat di negara tempat mereka belajar," katanya sambil menyebut Indonesia, Mesir, Britain dan Amerika bakal menjadi destinasi pertama.

Shabery, yang juga Pengerusi Kelab UMNO Luar Negara, bagaimanapun berkata, beliau tidak mahu mencampuradukkan program Rakan Muda dengan program UMNO.

"Saya perhatikan ramai pelajar kita di luar negara lebih suka berkumpul sesama sendiri. Amalan ini tidak begitu sihat. Saya baru pulang dari Indonesia dan sempat menemui pelajar-pelajar kita di sana. Saya menggalakkan mereka menyertai pertubuhan sukarela dan NGO tempatan yang diiktiraf supaya mereka dapat bergaul dan menyumbang kepada masyarakat tempatan.

"Cara ini bukan sahaja dapat membantu mereka menimba pengalaman, tetapi juga menjadi golongan yang mengambil berat dan berbudi pekerti," katanya.

Larian Ekiden yang akan berlangsung di Putrajaya pada 4 Oktober depan akan disertai oleh 300 peserta. Ia dianjurkan bersama oleh Yayasan Belia Antrabangsa (IYC), Yayasan Jepun Kuala Lumpur dan Persatuan Alumni Dasar Pandang Ke Timur (ALEPS).

GPMS Cawangan Wangsa Maju sentiasa membuka ruang kepada golongan muda Melayu khasnya untuk menyertai Badan ini. Insyaallah, kami sedang menambah keahlian di kawasan Wangsa Maju dan kepada sesiapa yang berminat, boleh menghubungi saya di talian 013 3264099.

(Sumber : Agendadaily)

Justify Full

Wednesday, August 19, 2009

PPSMI - GURU SEKOLAH AMBIL KESEMPATAN?

Kementerian Pelajaran memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap guru-guru yang mengambil kesempatan untuk mengajar matapelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia sepenuhnya sebelum 2012.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, guru yang didapati berbuat demikian, akan diberi surat amaran. Berikutan itu, beliau meminta guru besar dan pengetua sekolah supaya memantau perkara itu.

Beliau mengulas rungutan ibu bapa yang bimbang apabila diberi pilihan dwi-bahasa, para guru akan mengajar dua matapelajaran tersebut sepenuhnya dalam bahasa Malaysia. Bagaimanapun, Alimuddin berkata, mungkin wujud kekeliruan berhubung pemansuhan dasar Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI)

Menjelaskan perkara itu, beliau berkata, di peringkat UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah), pengajaran sains dan matematik akan terus diajar dalam dwi-bahasa sehingga 2016; PMR (Peperiksaan Menengah Rendah) sehingga 2013 dan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) sehingga 2015.

Alimuddin berkata pengajaran matapelajaran Sains dan Matematik akan diajar dalam bahasa Malaysia sepenuhnya mulai tahun 2017. Mengenai wabak influenza A (H1N1), beliau berkata lebih 100 sekolah telah ditutup selama seminggu akibat penularan penyakit tersebut.

Bagaimanapun, Alimuddin menegaskan bawa tidak ada sekolah yang ditutup dua kali kerana penularan H1N1. Berikutan itu, beliau berkata, arahan telah dikeluarkan meminta guru-guru yang mengajar subjek pertama supaya memeriksa tanda-tanda jangkitan H1N1 di kalangan murid mereka.

Para pelajar yang dikesan mempunyai tanda-tanda penyakit tersebut, akan terus dihantar ke hospital, katanya. Menurutnya lagi, setakat ini, kementeriannya menerima peruntukan RM2.6 juta membekalkan penutup hidung dan mulut, alat penyukat suhu dan cecair pembersih tangan ke sekolah.

Bagaimanapun, Alimuddin mengakui peruntukan itu tidak mencukupi dan di sekolah-sekolah yang ramai pelajar, mereka terpaksa membelinya sendiri.

Monday, August 17, 2009

PRK Permatang Pasir - JANGAN BIADAP KETIKA BERKEMPEN

GPMS Cawangan Wangsa Maju ingin mengambil kesempatan di sini mengucapkan Salam Berkempen buat 2 parti yang bertanding di DUN Permatang Pasir iaitu PAS dan BN. Pertembungan 2 parti yang mewakili kaum Islam dan Melayu ini di harap akan berkempen secara berhemah dan tidak melakukan sebarang masalah.

Apa yang berlaku pada sesi Penamaan Calon pada pagi tadi amat dikesali. MT PKR, N.Gobalakrishnan bertindak menimbulkan kekecohan menyebabkan pihak polis terpaksa mengambil tindakan. Insiden inilah yang amat dikesali kami setiap kali berlakunya pilihanraya kecil.

Kami juga menasihati para pelajar IPT agar tidak mengambil bahagian dalam mana-mana kempen atau perhimpunan tanpa permit dari pihak polis. Anda perlu ingat, masa depan anda adalah lebih penting. Pastikan anda tidak terlibat dalam mana-mana perhimpunan sebegini.

Salam berkempen..

Saturday, August 15, 2009

SALAM ULANG TAHUN GPMS - BANGKIT TERUS BERJUANG DEMI ANAK-ANAK MUDA MELAYU

Jika 61 tahun yang lalu, pada 14 dan 15 Ogos 1948, tertubuhnya Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) . Ia diilhamkan dan ditubuhkan oleh Bapa Pendidikan Negara, Y.Bhg Aminuddin Baki bersama beberapa pendukung GPMS yang lain termasuklah isteri Bekas Perdana Menteri Malaysia ke 4, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali.

Bermula dengan ikrar kebangkitan 4Sedar yang menjadi wadah perjuangan GPMS iaitu : -

SEDAR, atas perlunya disatukan tenaga sekalian pelajar Melayu di Semenanjung Tanah Melayu

SEDAR, akan kemunduran kami di alam pengetahuan

SEDAR, atas kewajipan kami untuk meninggikan darjat pengetahuan bangsa

SEDAR, maju mundur, kaya miskin dan hina mulianya bangsa terletak di tangan kami.

Dari ikrar yang dibaca, jelas menerangkan, apa jua yang berlaku ke atas anak-anak muda umat Melayu adalah tanggunggjawab warga GPMS sepenuhnya.

Kini, GPMS masih aktif. Perjuangan kita semakin mencabar. Kami dari GPMS Cawangan Wangsa Maju sentiasa memastikan GPMS terus bergerak sebagai nadi para pelajar dan belia Melayu. Perjuangan berlandaskan 2 perkara... Agama, Bangsa dan Negara.

Marilah sama-sama kita terus berjuang meningkatkan kesedaran terhadap anak-anak muda Melayu masa kini untuk terus meningkatkan kemajuan diri, memperkasa semangat untuk memajukan Bangsa, Agama dan Negara.

Cabaran kita semakin hari semakin getir. Maruah kita semakin tercalar. Adakah kita harus biarkan anak-anak Melayu merempat di Negara sendiri di masa akan datang? Hari ini, di masa ini, kita harus nekad, teruskan usaha, perkasakan program-program kita, demi anak-anak Melayu, yang menjadi wadah kesinambungan kemajuan di masa akan datang.

Bangkitlah wahai warga GPMS.. Bersatulah. Kerana masa kita semakin suntuk.


Thursday, August 13, 2009

AL FATIHAH BUAT ASRI RABBANI - PERGI TAK KEMBALI

Berita mengejut yang kami terima bahawa seorang insan yang sangat dikagumi, iaitu Asri Ibrahim telah kembali ke rahmatullah pada pukul 11 pagi tadi. Beliau merupakan vokalis kumpulan Rabbani yang tidak pernah berputus asa dalam memperjuangkan dakwah melalui irama nasyid.

Penyanyi utama kumpulan itu pengsan kira-kira 10.30 pagi setelah 20 minit menyertai program Syahadah musim kelima di Angkasapuri dan seterusnya dikejarkan ke hospital berkenaan. Menurut Mohd Asri Ubaidullah, seorang anggota Rabbani yang ditemui di hospital swasta itu, allahyarham mengalami muntah-muntah dan mengadu sakit sejak Subuh tadi.

Allahyarham kemudian mengambil susu, madu dan limau untuk mengurangkan kesakitan tersebut, tambah anggota Rabbani itu. Sewaktu tiba di stesen RTM untuk program tersebut, Asri sudah dalam keadaan lemah tetapi berkeras ingin menjayakan rakaman program tersebut yang akan disiarkan pada bulan Ramadhan tidak lama lagi.

Difahamkan, jenazah beliau akan dibawa Bukit Lancong dekat Shah Alam selepas ini.Ibu allahyarham, yang berkerusi roda, kelihatan masuk ke Hospital Pantai, jam 1 tengah hari tadi.

Sebelumnya, turut menziarahi jenazahnya di situ, pegawai-pegawai Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. Asri, yang dilahirkan pada 3 Ogos 1969 di Klang, Selangor, menyertai Rabbani sejak ia ditubuhkan pada 1 Mac 1997 dengan dianggotai lapan lagi anggota.

Beliau sebelum itu bersama satu lagi kumpulan nasyid terkenal Nadamurni. Selain Asri dan Mohd Asri, kumpulan nasyid itu turut disertai Azadan Abdul Aziz, Muhammad Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Mohamad Afandi Shahbudin, Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin dan Zulkiflee Azman.

Lebih 12 tahun dalam industri ini, Rabbani menghasilkan 19 album, antaranya Arah: Dari Mana Ke Mana (1997), Pergi Tak Kembali (1999), Intifada (2000), Yalla Beena (2004) dan yang terbaru Nostalgia Nada Murni.

Pihak GPMS Cawangan Wangsa Maju mengucapkan Salam Takziah buat keluarga beliau. Semoga Rabbani tidak akan terkubur walaupun kehilangan insan bernama Asri. Sedih dan sebak mendengar kematian beliau kerana kekentalan beliau dalam memperjuangkan dakwah Islam melalui nasyid tidak dapat dinafikan. Pelbagai cara dan pendekatan diketengahkan bagi mendekati masyarakat melalui Nasyid.

Semoga rohnya dicucuri Allah swt.. Al Fatihah.


Wednesday, August 12, 2009

PENGANUT KATHOLIK DAKWA 'AL ISLAM' HINA KRISTIAN - SUARAKAN PANDANGAN ANDA DI BLOG KAMI

Selepas membuat laporan polis lebih sebulan, penganut Katholik masih tidak berpuas hati dengan kelewatan tindakan terhadap wartawan Al-Islam yang didakwa menghina agama itu.

"Sampai hari ini tidak ada apa-apa. Sedangkan kita dimaklumkan siasatan telah selesai. Tidak dengar pula hendak dakwa (wartawan itu) atau bagaimana," kata seorang penganut agama itu Sudhagaran Stanley.

Pada 8 Julai lalu, Sudhagaran dan rakannya Joachim Francis Xavier membuat aduan polis berhubung isu penyamaran wartawan majalah itu Muhd Ridwan Abdul Jalil sebagai penganut Katholik bagi menyiasat khabar angin terdapat usaha memurtadkan gadis Islam.

Tindakan Muhd Ridwan mengikuti upacara Kristian di dua gereja di Kuala Lumpur – termasuk memakan roti suci yang disuapkan oleh paderi dan memuntahkannya kembali untuk diambil gambar – dianggap menghina Katholik dan menimbulkan provokasi.

Dihubungi Malaysiakini pagi ini, Sudhagaran berkata, beliau dan Persatuan Peguam Katholik akan mengunjungi Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya pada Isnin depan bagi menyatakan kekecewaan mereka itu.

Satu memorandum mendesak tindakan segera berhubung kes itu akan dikemukakan kepada kementerian, tambah Sudhagaran.

Mengulas siasatan terhadap aduan mereka di balai polis daerah Timur Laut, Pulau Pinang, Sudhagaran berkata, beliau telah dimaklumkan bahawa siasatan kes itu sudah selesai.

"Cuma, katanya, hanya tunggu arahan atasan (untuk tindakan selanjutnya)," kata Sudhagaran.

Artikel kontroversi itu "Tinjauan Al Islam Dalam Gereja: Mencari Kesahihan Remaja Melayu Murtad" diterbitkan dalam edisi Mei lalu. Artikel itu yang menceritakan pengalaman wartawan di gereja dimuatkan di halaman 28-30 yang menfokuskan isu "Al-Islam Masuk Gereja Cari Gadis Bertudung Murtad".

Bagaimanapun siasatan majalah tersebut tidak menemui isu murtad seperti khabar angin yang sering kedengaran dalam masyarakat Islam.

"Apa pun, sepanjang tinjauan yang dibuat, kami dapati dakwaan-dakwaan yang mengatakan ramai remaja Melayu dimurtadkan di gereja-gereja pada setiap hari Ahad tidak kami temui. Yang ada hanyalah mereka yang berwajah Melayu tetapi berasal dari Sabah yang menganut Kristian sejak lahir," artikel itu dipetik. Penulis turut memuji akhlak penganut Kristian di gereja.

"Sewaktu kami membuat tinjauan ini, kami berasa amat kagum melihat akhlak mereka yang hadir. Mereka sangat menghormati satu sama lain dan sangat mudah mesra kerana mereka sangat berpegang kepada konsep kasih sayang dan hormat menghormati," tulis Muhd Ridhwan.

"Mereka turut berjabat tangan dan diikuti dengan senyuman yang manis dengan kami apabila paderi memberi arahan ramah dan mesralah bersama saudara-saudaramu."

GPMS Cawangan Wangsa Maju akan mengulas lanjut isu ini selepas ini. Kami inginkan pandangan dari masyarakat Islam di Malaysia berkenaan isu ini. Suarakan pandangan anda melalui komen dari artikel ini..

Tuesday, August 11, 2009

H1N1 SEMAKIN SERIUS - BERDOA PADA ALLAH, PERHEBATKAN KEMPEN

Jumlah kematian akibat selesema A (H1N1) meningkat kepada 38 orang apabila enam lagi kematian dicatatkan dalam tempoh 24 jam. Jumlah keseluruhan naik mendadak kepada 2,253 kes apabila 270 kes baru - rekod tertinggi dalam satu hari - dilaporkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Semalam enam kematian, sementara kelmarin lapan kematian dilaporkan - termasuk kes-kes yang baru disahkan dan belum dilaporkan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan 5,500 hingga 28,000 rakyat Malaysia akan mati dalam wabak selesema itu jika 20 peratus daripada 27.7 juta penduduk negara ini dijangkiti virus A (H1N1).

Unjuran ini dengan mengambil kira andaian kadar kematian antara 0.1 hingga 0.5 peratus daripada 5.5 juta orang yang dijangkiti, kata pengarah penyakit berjangkit WHO Dr Tee Ah Sian hujung bulan lalu.

Pihak GPMS Cawangan Wangsa Maju meminta kesemua Mahasiswa IPT yang beragama Islam mengadakan Majlis Solat Hajat, meminta pertolongan dari Allah agar penyakit ini dapat dihentikan serta merta. Penyakit H1N1 nampak semakin serius sehingga meragut nyawa masyarakat yang menjangkitinya.

Kempen-kempen pencegahan wajar diperhebatkan lagi. GPMS Cawangan Wangsa Maju mencadangkan kesemua GPMS Cawangan dan Cawangan Khas melancarkan kempen 'Bunuh H1N1' agar masyarakat sedar bahayanya penyakit ini.

Kami mendoakan kepada semua rakyat Malaysia agar sentiasa dilindungi dari wabak penyakit ini. Pada umat Islam yang telah meninggal dunia akibat wabak ini, sama-sama kita sedekahkan Al Fatihah buat mereka. Semoga Allah melindungi kita semua dari sebarang penyakit.


Monday, August 10, 2009

ISU ARAK DI SELANGOR - RONNIE LIU KAKI BOTOL, PAS PERLU LEBIH BERANI

Sejak akhir-akhir ini kecoh kedengaran isu arak di Negeri Selangor. Berlaku juga pertelingkahan mulut antara pemimpin-pemimpin Negeri Selangor mengenai isu arak. Exco DAP, Ronnie Riu mempertahankan desakan agar arak yang dirampas oleh sebuah Majlis Perbandaran dipulangkan semula. Heh?

Teresa Kok pula dengan bangganya menggelarkan Ronnie Liu seorang Pejuang dan Hero Bukan Melayu dan Islam. Apa semua ini? PAS, anda sewajarnya lebih lantang dan berani bersuara mengenai isu ini. Anda mempunyai pengaruh yang kuat dalam Kerajaan Negeri kerana 2 Exco dari Selangor dipegang dari parti anda. Jangan tunggu sehingga orang-orang ini terus menguasai minda anda. Lawan..... Jangan terlalu sayangkan Pakatan sehingga nyawa Agama dan Bangsa kita dipijak.

GPMS Cawangan Wangsa Maju ingin menegaskan disini, kami mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Ronnie Liu. Baru rampas sebuah Kedai Serbaguna, sudah melenting. Apa? Sudah tiada arak di tempat-tempat lain untuk anda minum? Suci sangatkah air ini sehingga dipertahan beliau seperti orang Kristian mempertahankan Holy Water mereka?

Kami menghormati jika kaum-kaum lain memerlukan air ini untuk Majlis-Majlis Keagamaan. Tetapi, kenapa isu rampasan hanya melibatkan sebuah Kedai Serbaguna, Ronnie Liu melenting seolah-olah Kerajaan Negeri Selangor terus hendak mengharamkan arak? Itu persoalannya.

Dan 1 lagi persoalan yang timbul, Bagaimana PAS hendak mengharamkan penjualan arak secara terbuka di Selangor jika ini berlaku?

Friday, August 7, 2009

Program Bual Bicara Akan Diteruskan Khas Buat Belia - GPMS WANGSA MAJU TERUS BERJUANG

Pagi Ahad lepas telah berlangsungnya Program Bual Bicara : Remaja dan Masa Depan anjuran GPMS Cawangan Wangsa Maju dengan kerjasama Biro Rakan Muda Masjid Jamek Saad bin Abi Waqqas. Program ini telah berlangsung di Masjid tersebut. Alhamdulillah, seramai 130 peserta telah hadir dan memberi reaksi positif terhadap program tersebut.

Program ini telah dirasmikan oleh Setiausaha Politik Datuk Seri Najib Tun Razak, Dato' Dr. Haji Mohd Shafei Abdullah. Walaupun terdapat banyak program pada pagi tersebut, beliau tetap hadir. Beliau juga amat terharu dengan kehadiran peserta yang amat memberansangkan dan berharap program sebegini dapat diteruskan.

Antara peserta yang hadir dari GPMS Cawangan Khas Kolej Islam Antarabangsa (IIC), GPMS Cawangan Khas UIAM, ahli Biro Rakan Muda Masjid Jamek Saad bin Abi Waqqas dan Universiti Kuala Lumpur MIMET.

Yang Di Pertua GPMS Cawangan Wangsa Maju, En. Jais Abdul Karim memberi respons positif dan program ini juga sebagai perintis semangat kepimpinan baru GPMS Cawangan Wangsa Maju. Beliau begitu yakin dengan rombakan barisan kepimpinan GPMS Cawangan Wangsa Maju, ianya akan terus bergerak mantap dan utuh untuk melaksanakan program-program baru di masa akan datang.

Ahli panel yang terlibat dalam program ini didatangkan khas dari UKM iaitu Prof. Madya Datuk Dr. Abdul Halim, CEO Institut Pembangunan dan Penyelidikan Belia Malaysia. Gaya beliau yang bersahaja, tetapi cara penyampaian beliau telah memukau dan mencuit peserta dan ini lebih meyakinkan kami untuk menjemput beliau ke program-program yang akan dilaksanakan di masa akan datang.

Pihak GPMS Cawangan Wangsa Maju ingin mengucapkan Jutaan Terima Kasih kepada Jawatankuasa Masjid Jamek Saad bin Abi Waqqas di bawah pimpinan Tuan Haji Abdull Razak Haji Alias yang telah memberi kerjasama sepenuhnya untuk menjayakan program ini.

Jutaan Penghargaan juga kepada crew-crew yang terlibat dari pihak GPMS Cawangan Khas IIC, UIAM dan Wangsa Maju yang berganding bahu menjayakan program ini. Insyaallah, kerjasama ini akan berterusan dengan semangat kekeluargaan yang kita bina sepanjang program ini.

Tidak dilupa juga khas buat pihak Majlis Perwakilan Pelajar Kolej Islam Antarabangsa (IIC) yang sudi menyertai program ini. Insyaallah, kerjasama ini menjadi titik permulaan untuk kita melaksanakan program-program bersama selepas ini.

Penghargaan juga buat peserta dari Universiti Kuala Lumpur (UNIKL) MIMET yang datang dari Lumut, Perak semata-mata untuk menyertai program ini. Jutaan terima kasih.

Buat semua yang terlibat, jutaan terima kasih ikhlas dari kami GPMS Cawangan Wangsa Maju. Pohon ampun dan maaf jika terdapat kekurangan dan kecacatan sepanjang program ini berjalan. Insyaallah, berkat kerjasama di antara kita, program ini akan menjadi lebih sempurna selepas ini.

Program ini juga telah membangkitkan semangat GPMS Cawangan Wangsa Maju untuk terus berjuang mendidik, memotivasi dan membela anak-anak muda Melayu untuk terus gagah mengharungi arena Pendidikan Negara...

Jutaan Terima Kasih sekali lagi ...