Monday, November 23, 2009

JAIS ABDUL KARIM PRESIDEN GPMS BARU - TRANSFORMASI GPMS BERMULA

Pemilihan barisan kepimpinan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) hari ini menyaksikan Naib Presiden I, Jais Abdul Karim dilantik secara automatik sebagai presiden baru pertubuhan pelajar itu selepas penyandangnya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengumumkan tidak mempertahankan jawatan itu semalam.

Turut dilantik ialah Naib Presiden II, Rosdi Amir sebagai timbalan presiden baru pertubuhan itu selepas keputusan jawatankuasa kepimpinan baru GPMS bagi sesi 2009/2012 diumumkan pada pukul 7 malam tadi.

Pelantikan Jais dan Rosdi diputuskan ekoran tiada pencalonan dikemukakan untuk kedua-dua jawatan. Berikutan itu hanya empat jawatan Naib Presiden serta enam Ahli Majlis Tertinggi (AMT) pertubuhan itu dipertandingkan dalam pemilihan tersebut.

Pemilihan jawatankuasa kepimpinan baru GPMS diadakan kira-kira pukul 11 pagi ini melibatkan 539 orang perwakilan pertubuhan itu di seluruh negara sempena Persidangan Agung Tahunan Ke-55 GPMS di Dewan Sri Budiman, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini.

Tiga Naib Presiden baru dipilih iaitu Pengerusi GPMS Perak, Hasnil Fairus Hushin Amri; Timbalan Pengerusi GMPS, Wilayah Persekutuan, Ezarudin Abdul Rahman; Yang Dipertua GPMS Kuala Lipis, Hishamuddin Abdul Rahman.

Pengerusi GPMS Kelantan, Rafidah Mohd. Ariffin juga dilantik Naib Presiden (Wanita).

Selain itu, jawatan ahli Majlis Tertinggi pula dimenangi oleh Ismadee Asmara Ishak, Mohd. Redzuan Mohamed Yusof, Mohd. Alif Anas Md. Nor, Khairul Adha Madzlan, Hazzaini Hashim serta Azham Abara Ahmad.

Untuk jawatan pengerusi tetap dan timbalan pengerusi tetap masing-masing dimenangi Hassanul Amir Abdul Halim dan Tajul Azmir Mustapha manakala jawatan Ketua Penerangan GPMS, kekal disandang oleh Irmohizam Ibrahim.

Sementara itu, Jais, 36, ketika ditemui selepas pengumuman tersebut berkata, beliau sedar akan tanggungjawab besar dan penuh cabaran yang menantinya.

Bagaimanapun katanya, beliau telah mengatur perancangan awal bagi meneruskan hala tuju GPMS yang diperjuangkan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu.

Malah, bersama kepimpinan baru, GPMS akan mengkaji had keahlian sebelum meminda konsep keahlian yang baru selain mahu menjadikan GPMS sebuah pertubuhan yang tidak memihak kepada mana-mana parti politik.

"Tiga penanda aras ditetapkan iaitu supaya pertubuhan ini tidak berpihak pada mana-mana parti politik sebaliknya menjurus kepada kepentingan tahap pendidikan masyarakat Melayu.

"GPMS sebenarnya juga dikenalpasti sebagai gedung untuk melahirkan pemimpin dan untuk itu juga, kami akan meneruskan tradisi melahirkan lebih ramai mahasiswa yang berkebolehan untuk menjadi pemimpin. Malah, kami juga akan memperkasakan pelbagai program di peringkat cawangan bagi memperkuatkan lagi GPMS," ujarnya.

Jais seorang perunding motivasi memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Beliau menyertai GPMS sejak 1988 sebelum dilantik sebagai ahli Majlis Tertinggi pada tahun 1993 serta Naib Presiden 1 GPMS (2006).

GPMS Cawangan Wangsa Maju mengucapkan Tahniah kepada Yang Di Pertua GPMS Cawangan Wangsa Maju, En. Jais Abdul Karim yang telah diberi kepercayaan untuk menerajui Badan ini.

Semoga GPMS terus cemerlang dalam mengaplikasi perjuangan kita demi Agama, Bangsa dan Negara. Inilah 1Transformasi, hanya kita mampu melaksanakannya. Tahniah buat kesemua barisan kepimpinan baru.


2 comments:

fedup said...

salam...

tahniah kepada sdr jais dan sdr rosdi..juga ucap tahniah kepada GPMS Wangsa Maju di atas di nobatkan sebagai Cawangan GPMS terbaik 2009..

tingkatkan usaha menjana kepada pembangunan pendidikan dan sahsiah pelajar2 melayu khususnya..

PARPUKARI said...

Tahniah Bro Jais! I know u can do it! Well done!