Wednesday, August 26, 2009

AL FATIHAH BUAT DR. ISMAIL - SEORANG IKON RAKYAT MALAYSIA

Kita kehilangan seorang ikon yang menjadi inspirasi rakyat Malaysia. Senator Datuk Dr Ismail Salleh meninggal dunia semasa dalam penerbangan dari Beijing ke Kuala Lumpur melalui Singapura jam 3.50 pagi Khamis. Allahyarham,62 merupakan orang cacat penglihatan pertama dilantik sebagai seorang Senator. Beliau terkenal sebagai tokoh akademik dan aktivis ekonomi.

Allahu Rahmanur Rahim. Perginya seorang ikon yang disegani di bulan Ramadhan. Allah amat menyayangi beliau. Beliau seorang tokoh yang unik dan berkarisma. Beliau juga menjadi inspirasi buat Orang Kurang Upaya (OKU) yang bercita-cita menjadi seperti beliau.

Beliau telah membuktikan kecacatan tidak menghalang kita untuk berjaya dan menyumbang pada Negara. Tugas arwah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Twintech Holdings dan Naib Canselor Universiti Kolej Antarabangsa Twintech tidak menghalang beliau untuk memperjuangkan hak-hak dan kepentingan Orang Kurang Upaya (OKU). hilangnya sebuah permata.


Al Fatihah buat Dr. Ismail Salleh...........

Tuesday, August 25, 2009

PAS MENANG PERMATANG PASIR - ADAKAH ISLAM AKAN TERBELA DI PENANG?

PAS mengekalkan kemenangan di Permatang Pasir. Itu yang kedengaran di seluruh Malaysia malam tadi. GPMS mengucapkan tahniah buat PAS atas kemenangan mereka dan berharap BN pimpinan UMNO tidak berputus asa dan meneruskan perjuangan anda di bawah kepimpinan Dato' Sri Najib Tun Razak.

Apa yang diharapkan dari pihak GPMS Cawangan Wangsa Maju, janji PAS yang telah dipegang sejak dahulu lagi iaitu untuk mendaulatkan Syiar Islam dalam pemerintahan. akan dapat dilaksanakan dengan penuh berhemah. Inilah pegangan anda sejak dahulu. Oleh itu, aplikasi pendirian anda di Pulau Pinang kerana anda kini bersama Barisan rakan-rakan seperjuangan anda iaitu DAP sebagai parti dominan di Pulau Pinang dan PKR.

Kami agak kecewa kerana banyak isu berkenaan dengan Islam di Negeri-Negeri yang diperintah Pakatan tidak dibela dengan sewajarnya dari pihak PAS. Ini akan memberi kesan kepada masyarakat yang meletakkan harapan yang tinggi kepada anda sewaktu PRU12 dahulu.

PAS, Parti Islam SeMalaysia. Jangan pula Datuk Nik Abdul Aziz sahaja yang mencanang satu dunia tentang perjuangan Islam, tapi anak-anak buahnya buat endah tak endah kerana agenda politik peribadi masing-masing. Jangan hanya Islam pada nama, tapi tiada bezanya dari struktur kepimpinan. Jika anda kata parti anda lebih menekankan Islam sebagai perjuangan syahid anda, buktikan. Sungguhpun anda bersama sebuah parti yang agak panas mendengar tentang perjuangan Islam, iaitu DAP, jangan biarkan ianya hanya tinggal nama.

GPMS Cawangan Wangsa Maju sentiasa menyokong sebarang usul atau perjuangan yang membela Agama, Bangsa dan Negara tidak kira dari kalangan PAS atau UMNO atau mana-mana badan. Tetapi jika ianya tidak dibuktikan melalui perlaksanaan, jika ianya hanya sekadar slogan, jika ianya digunakan untuk kepentingan peribadi, ia perlu dinyahkan serta merta. Inilah pendirian kami.

Friday, August 21, 2009

SALAM NUR RAMADHAN - ANAK MUDA, BERPUASALAH !!!

Pihak GPMS Cawangan Wangsa Maju mengambil kesempatan di sini mengucapkan Salam Nur Ramadhan buat semua umat Islam di Malaysia. Sememangnya kita menantikan bulan yang mulia ini. Kemeriahan di bulan Ramadhan amat kita nanti-nantikan kerana ianya adalah kunci perpaduan ummah.

Buat semua pelajar dan belia Melayu, jangan sesekali kita melanggar Rukun Islam ini. Janganlah sesekali memalukan Agama kita dengan perbuatan kita. Anak-anak muda dari Agama dan Bangsa lain akan memandang rendah kepada kita kerana kita sendiri tidak mampu melaksanakan tuntutan agama.

Kami juga menyeru semua parti-parti politik menghentikan sebarang bentuk hinaan, kutukan dan makian sesama kita kerana ianya bukan satu budaya yang baik di bulan ini. Marilah sama-sama kita memfokuskan untuk beribadah kepada Allah, meminta agar disatukan sekalian umat Islam dan elakkan dari sebarang perpecahan.

Kami berharap hari pengundian PRK Permatang Pasir pada minggu hadapan akan berlangsung secara aman tanpa sebarang insiden pergaduhan. Lakukanlah tanggungjawab dengan penuh berhemah dan aman.

Salam Nur Ramadhan ikhlas dari kami GPMS Cawangan Wangsa Maju.

Thursday, August 20, 2009

RAKAN MUDA KE LUAR NEGARA - REMAJA WAJAR SERTAI NGO'S.

Kementerian Belia dan Sukan bercadang mengembangkan program Rakan Muda ke luar negara supaya pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di sana dapat bergiat dalam kegiatan sukarela, kata menterinya, Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis pelancaran Larian Antarabangsa Ekiden di Putrajaya, Rabu, Shabery berkata, usaha juga akan dibuat bagi menggalakkan pelajar-pelajar Malaysia di universiti luar negara menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan sukarela dan juga bergiat dalam kegiatan kemasyarakatan.

"Saya mahu remaja dan belia, terutama pelajar Malaysia di luar negara membawa nama Malaysia di mana-mana mereka berada. Mereka harus mendampingi masyarakat setempat di negara tempat mereka belajar," katanya sambil menyebut Indonesia, Mesir, Britain dan Amerika bakal menjadi destinasi pertama.

Shabery, yang juga Pengerusi Kelab UMNO Luar Negara, bagaimanapun berkata, beliau tidak mahu mencampuradukkan program Rakan Muda dengan program UMNO.

"Saya perhatikan ramai pelajar kita di luar negara lebih suka berkumpul sesama sendiri. Amalan ini tidak begitu sihat. Saya baru pulang dari Indonesia dan sempat menemui pelajar-pelajar kita di sana. Saya menggalakkan mereka menyertai pertubuhan sukarela dan NGO tempatan yang diiktiraf supaya mereka dapat bergaul dan menyumbang kepada masyarakat tempatan.

"Cara ini bukan sahaja dapat membantu mereka menimba pengalaman, tetapi juga menjadi golongan yang mengambil berat dan berbudi pekerti," katanya.

Larian Ekiden yang akan berlangsung di Putrajaya pada 4 Oktober depan akan disertai oleh 300 peserta. Ia dianjurkan bersama oleh Yayasan Belia Antrabangsa (IYC), Yayasan Jepun Kuala Lumpur dan Persatuan Alumni Dasar Pandang Ke Timur (ALEPS).

GPMS Cawangan Wangsa Maju sentiasa membuka ruang kepada golongan muda Melayu khasnya untuk menyertai Badan ini. Insyaallah, kami sedang menambah keahlian di kawasan Wangsa Maju dan kepada sesiapa yang berminat, boleh menghubungi saya di talian 013 3264099.

(Sumber : Agendadaily)

Justify Full

Wednesday, August 19, 2009

PPSMI - GURU SEKOLAH AMBIL KESEMPATAN?

Kementerian Pelajaran memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap guru-guru yang mengambil kesempatan untuk mengajar matapelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia sepenuhnya sebelum 2012.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, guru yang didapati berbuat demikian, akan diberi surat amaran. Berikutan itu, beliau meminta guru besar dan pengetua sekolah supaya memantau perkara itu.

Beliau mengulas rungutan ibu bapa yang bimbang apabila diberi pilihan dwi-bahasa, para guru akan mengajar dua matapelajaran tersebut sepenuhnya dalam bahasa Malaysia. Bagaimanapun, Alimuddin berkata, mungkin wujud kekeliruan berhubung pemansuhan dasar Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI)

Menjelaskan perkara itu, beliau berkata, di peringkat UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah), pengajaran sains dan matematik akan terus diajar dalam dwi-bahasa sehingga 2016; PMR (Peperiksaan Menengah Rendah) sehingga 2013 dan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) sehingga 2015.

Alimuddin berkata pengajaran matapelajaran Sains dan Matematik akan diajar dalam bahasa Malaysia sepenuhnya mulai tahun 2017. Mengenai wabak influenza A (H1N1), beliau berkata lebih 100 sekolah telah ditutup selama seminggu akibat penularan penyakit tersebut.

Bagaimanapun, Alimuddin menegaskan bawa tidak ada sekolah yang ditutup dua kali kerana penularan H1N1. Berikutan itu, beliau berkata, arahan telah dikeluarkan meminta guru-guru yang mengajar subjek pertama supaya memeriksa tanda-tanda jangkitan H1N1 di kalangan murid mereka.

Para pelajar yang dikesan mempunyai tanda-tanda penyakit tersebut, akan terus dihantar ke hospital, katanya. Menurutnya lagi, setakat ini, kementeriannya menerima peruntukan RM2.6 juta membekalkan penutup hidung dan mulut, alat penyukat suhu dan cecair pembersih tangan ke sekolah.

Bagaimanapun, Alimuddin mengakui peruntukan itu tidak mencukupi dan di sekolah-sekolah yang ramai pelajar, mereka terpaksa membelinya sendiri.

Monday, August 17, 2009

PRK Permatang Pasir - JANGAN BIADAP KETIKA BERKEMPEN

GPMS Cawangan Wangsa Maju ingin mengambil kesempatan di sini mengucapkan Salam Berkempen buat 2 parti yang bertanding di DUN Permatang Pasir iaitu PAS dan BN. Pertembungan 2 parti yang mewakili kaum Islam dan Melayu ini di harap akan berkempen secara berhemah dan tidak melakukan sebarang masalah.

Apa yang berlaku pada sesi Penamaan Calon pada pagi tadi amat dikesali. MT PKR, N.Gobalakrishnan bertindak menimbulkan kekecohan menyebabkan pihak polis terpaksa mengambil tindakan. Insiden inilah yang amat dikesali kami setiap kali berlakunya pilihanraya kecil.

Kami juga menasihati para pelajar IPT agar tidak mengambil bahagian dalam mana-mana kempen atau perhimpunan tanpa permit dari pihak polis. Anda perlu ingat, masa depan anda adalah lebih penting. Pastikan anda tidak terlibat dalam mana-mana perhimpunan sebegini.

Salam berkempen..

Saturday, August 15, 2009

SALAM ULANG TAHUN GPMS - BANGKIT TERUS BERJUANG DEMI ANAK-ANAK MUDA MELAYU

Jika 61 tahun yang lalu, pada 14 dan 15 Ogos 1948, tertubuhnya Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) . Ia diilhamkan dan ditubuhkan oleh Bapa Pendidikan Negara, Y.Bhg Aminuddin Baki bersama beberapa pendukung GPMS yang lain termasuklah isteri Bekas Perdana Menteri Malaysia ke 4, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali.

Bermula dengan ikrar kebangkitan 4Sedar yang menjadi wadah perjuangan GPMS iaitu : -

SEDAR, atas perlunya disatukan tenaga sekalian pelajar Melayu di Semenanjung Tanah Melayu

SEDAR, akan kemunduran kami di alam pengetahuan

SEDAR, atas kewajipan kami untuk meninggikan darjat pengetahuan bangsa

SEDAR, maju mundur, kaya miskin dan hina mulianya bangsa terletak di tangan kami.

Dari ikrar yang dibaca, jelas menerangkan, apa jua yang berlaku ke atas anak-anak muda umat Melayu adalah tanggunggjawab warga GPMS sepenuhnya.

Kini, GPMS masih aktif. Perjuangan kita semakin mencabar. Kami dari GPMS Cawangan Wangsa Maju sentiasa memastikan GPMS terus bergerak sebagai nadi para pelajar dan belia Melayu. Perjuangan berlandaskan 2 perkara... Agama, Bangsa dan Negara.

Marilah sama-sama kita terus berjuang meningkatkan kesedaran terhadap anak-anak muda Melayu masa kini untuk terus meningkatkan kemajuan diri, memperkasa semangat untuk memajukan Bangsa, Agama dan Negara.

Cabaran kita semakin hari semakin getir. Maruah kita semakin tercalar. Adakah kita harus biarkan anak-anak Melayu merempat di Negara sendiri di masa akan datang? Hari ini, di masa ini, kita harus nekad, teruskan usaha, perkasakan program-program kita, demi anak-anak Melayu, yang menjadi wadah kesinambungan kemajuan di masa akan datang.

Bangkitlah wahai warga GPMS.. Bersatulah. Kerana masa kita semakin suntuk.


Thursday, August 13, 2009

AL FATIHAH BUAT ASRI RABBANI - PERGI TAK KEMBALI

Berita mengejut yang kami terima bahawa seorang insan yang sangat dikagumi, iaitu Asri Ibrahim telah kembali ke rahmatullah pada pukul 11 pagi tadi. Beliau merupakan vokalis kumpulan Rabbani yang tidak pernah berputus asa dalam memperjuangkan dakwah melalui irama nasyid.

Penyanyi utama kumpulan itu pengsan kira-kira 10.30 pagi setelah 20 minit menyertai program Syahadah musim kelima di Angkasapuri dan seterusnya dikejarkan ke hospital berkenaan. Menurut Mohd Asri Ubaidullah, seorang anggota Rabbani yang ditemui di hospital swasta itu, allahyarham mengalami muntah-muntah dan mengadu sakit sejak Subuh tadi.

Allahyarham kemudian mengambil susu, madu dan limau untuk mengurangkan kesakitan tersebut, tambah anggota Rabbani itu. Sewaktu tiba di stesen RTM untuk program tersebut, Asri sudah dalam keadaan lemah tetapi berkeras ingin menjayakan rakaman program tersebut yang akan disiarkan pada bulan Ramadhan tidak lama lagi.

Difahamkan, jenazah beliau akan dibawa Bukit Lancong dekat Shah Alam selepas ini.Ibu allahyarham, yang berkerusi roda, kelihatan masuk ke Hospital Pantai, jam 1 tengah hari tadi.

Sebelumnya, turut menziarahi jenazahnya di situ, pegawai-pegawai Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. Asri, yang dilahirkan pada 3 Ogos 1969 di Klang, Selangor, menyertai Rabbani sejak ia ditubuhkan pada 1 Mac 1997 dengan dianggotai lapan lagi anggota.

Beliau sebelum itu bersama satu lagi kumpulan nasyid terkenal Nadamurni. Selain Asri dan Mohd Asri, kumpulan nasyid itu turut disertai Azadan Abdul Aziz, Muhammad Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Mohamad Afandi Shahbudin, Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin dan Zulkiflee Azman.

Lebih 12 tahun dalam industri ini, Rabbani menghasilkan 19 album, antaranya Arah: Dari Mana Ke Mana (1997), Pergi Tak Kembali (1999), Intifada (2000), Yalla Beena (2004) dan yang terbaru Nostalgia Nada Murni.

Pihak GPMS Cawangan Wangsa Maju mengucapkan Salam Takziah buat keluarga beliau. Semoga Rabbani tidak akan terkubur walaupun kehilangan insan bernama Asri. Sedih dan sebak mendengar kematian beliau kerana kekentalan beliau dalam memperjuangkan dakwah Islam melalui nasyid tidak dapat dinafikan. Pelbagai cara dan pendekatan diketengahkan bagi mendekati masyarakat melalui Nasyid.

Semoga rohnya dicucuri Allah swt.. Al Fatihah.


Wednesday, August 12, 2009

PENGANUT KATHOLIK DAKWA 'AL ISLAM' HINA KRISTIAN - SUARAKAN PANDANGAN ANDA DI BLOG KAMI

Selepas membuat laporan polis lebih sebulan, penganut Katholik masih tidak berpuas hati dengan kelewatan tindakan terhadap wartawan Al-Islam yang didakwa menghina agama itu.

"Sampai hari ini tidak ada apa-apa. Sedangkan kita dimaklumkan siasatan telah selesai. Tidak dengar pula hendak dakwa (wartawan itu) atau bagaimana," kata seorang penganut agama itu Sudhagaran Stanley.

Pada 8 Julai lalu, Sudhagaran dan rakannya Joachim Francis Xavier membuat aduan polis berhubung isu penyamaran wartawan majalah itu Muhd Ridwan Abdul Jalil sebagai penganut Katholik bagi menyiasat khabar angin terdapat usaha memurtadkan gadis Islam.

Tindakan Muhd Ridwan mengikuti upacara Kristian di dua gereja di Kuala Lumpur – termasuk memakan roti suci yang disuapkan oleh paderi dan memuntahkannya kembali untuk diambil gambar – dianggap menghina Katholik dan menimbulkan provokasi.

Dihubungi Malaysiakini pagi ini, Sudhagaran berkata, beliau dan Persatuan Peguam Katholik akan mengunjungi Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya pada Isnin depan bagi menyatakan kekecewaan mereka itu.

Satu memorandum mendesak tindakan segera berhubung kes itu akan dikemukakan kepada kementerian, tambah Sudhagaran.

Mengulas siasatan terhadap aduan mereka di balai polis daerah Timur Laut, Pulau Pinang, Sudhagaran berkata, beliau telah dimaklumkan bahawa siasatan kes itu sudah selesai.

"Cuma, katanya, hanya tunggu arahan atasan (untuk tindakan selanjutnya)," kata Sudhagaran.

Artikel kontroversi itu "Tinjauan Al Islam Dalam Gereja: Mencari Kesahihan Remaja Melayu Murtad" diterbitkan dalam edisi Mei lalu. Artikel itu yang menceritakan pengalaman wartawan di gereja dimuatkan di halaman 28-30 yang menfokuskan isu "Al-Islam Masuk Gereja Cari Gadis Bertudung Murtad".

Bagaimanapun siasatan majalah tersebut tidak menemui isu murtad seperti khabar angin yang sering kedengaran dalam masyarakat Islam.

"Apa pun, sepanjang tinjauan yang dibuat, kami dapati dakwaan-dakwaan yang mengatakan ramai remaja Melayu dimurtadkan di gereja-gereja pada setiap hari Ahad tidak kami temui. Yang ada hanyalah mereka yang berwajah Melayu tetapi berasal dari Sabah yang menganut Kristian sejak lahir," artikel itu dipetik. Penulis turut memuji akhlak penganut Kristian di gereja.

"Sewaktu kami membuat tinjauan ini, kami berasa amat kagum melihat akhlak mereka yang hadir. Mereka sangat menghormati satu sama lain dan sangat mudah mesra kerana mereka sangat berpegang kepada konsep kasih sayang dan hormat menghormati," tulis Muhd Ridhwan.

"Mereka turut berjabat tangan dan diikuti dengan senyuman yang manis dengan kami apabila paderi memberi arahan ramah dan mesralah bersama saudara-saudaramu."

GPMS Cawangan Wangsa Maju akan mengulas lanjut isu ini selepas ini. Kami inginkan pandangan dari masyarakat Islam di Malaysia berkenaan isu ini. Suarakan pandangan anda melalui komen dari artikel ini..

Tuesday, August 11, 2009

H1N1 SEMAKIN SERIUS - BERDOA PADA ALLAH, PERHEBATKAN KEMPEN

Jumlah kematian akibat selesema A (H1N1) meningkat kepada 38 orang apabila enam lagi kematian dicatatkan dalam tempoh 24 jam. Jumlah keseluruhan naik mendadak kepada 2,253 kes apabila 270 kes baru - rekod tertinggi dalam satu hari - dilaporkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Semalam enam kematian, sementara kelmarin lapan kematian dilaporkan - termasuk kes-kes yang baru disahkan dan belum dilaporkan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan 5,500 hingga 28,000 rakyat Malaysia akan mati dalam wabak selesema itu jika 20 peratus daripada 27.7 juta penduduk negara ini dijangkiti virus A (H1N1).

Unjuran ini dengan mengambil kira andaian kadar kematian antara 0.1 hingga 0.5 peratus daripada 5.5 juta orang yang dijangkiti, kata pengarah penyakit berjangkit WHO Dr Tee Ah Sian hujung bulan lalu.

Pihak GPMS Cawangan Wangsa Maju meminta kesemua Mahasiswa IPT yang beragama Islam mengadakan Majlis Solat Hajat, meminta pertolongan dari Allah agar penyakit ini dapat dihentikan serta merta. Penyakit H1N1 nampak semakin serius sehingga meragut nyawa masyarakat yang menjangkitinya.

Kempen-kempen pencegahan wajar diperhebatkan lagi. GPMS Cawangan Wangsa Maju mencadangkan kesemua GPMS Cawangan dan Cawangan Khas melancarkan kempen 'Bunuh H1N1' agar masyarakat sedar bahayanya penyakit ini.

Kami mendoakan kepada semua rakyat Malaysia agar sentiasa dilindungi dari wabak penyakit ini. Pada umat Islam yang telah meninggal dunia akibat wabak ini, sama-sama kita sedekahkan Al Fatihah buat mereka. Semoga Allah melindungi kita semua dari sebarang penyakit.


Monday, August 10, 2009

ISU ARAK DI SELANGOR - RONNIE LIU KAKI BOTOL, PAS PERLU LEBIH BERANI

Sejak akhir-akhir ini kecoh kedengaran isu arak di Negeri Selangor. Berlaku juga pertelingkahan mulut antara pemimpin-pemimpin Negeri Selangor mengenai isu arak. Exco DAP, Ronnie Riu mempertahankan desakan agar arak yang dirampas oleh sebuah Majlis Perbandaran dipulangkan semula. Heh?

Teresa Kok pula dengan bangganya menggelarkan Ronnie Liu seorang Pejuang dan Hero Bukan Melayu dan Islam. Apa semua ini? PAS, anda sewajarnya lebih lantang dan berani bersuara mengenai isu ini. Anda mempunyai pengaruh yang kuat dalam Kerajaan Negeri kerana 2 Exco dari Selangor dipegang dari parti anda. Jangan tunggu sehingga orang-orang ini terus menguasai minda anda. Lawan..... Jangan terlalu sayangkan Pakatan sehingga nyawa Agama dan Bangsa kita dipijak.

GPMS Cawangan Wangsa Maju ingin menegaskan disini, kami mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Ronnie Liu. Baru rampas sebuah Kedai Serbaguna, sudah melenting. Apa? Sudah tiada arak di tempat-tempat lain untuk anda minum? Suci sangatkah air ini sehingga dipertahan beliau seperti orang Kristian mempertahankan Holy Water mereka?

Kami menghormati jika kaum-kaum lain memerlukan air ini untuk Majlis-Majlis Keagamaan. Tetapi, kenapa isu rampasan hanya melibatkan sebuah Kedai Serbaguna, Ronnie Liu melenting seolah-olah Kerajaan Negeri Selangor terus hendak mengharamkan arak? Itu persoalannya.

Dan 1 lagi persoalan yang timbul, Bagaimana PAS hendak mengharamkan penjualan arak secara terbuka di Selangor jika ini berlaku?

Friday, August 7, 2009

Program Bual Bicara Akan Diteruskan Khas Buat Belia - GPMS WANGSA MAJU TERUS BERJUANG

Pagi Ahad lepas telah berlangsungnya Program Bual Bicara : Remaja dan Masa Depan anjuran GPMS Cawangan Wangsa Maju dengan kerjasama Biro Rakan Muda Masjid Jamek Saad bin Abi Waqqas. Program ini telah berlangsung di Masjid tersebut. Alhamdulillah, seramai 130 peserta telah hadir dan memberi reaksi positif terhadap program tersebut.

Program ini telah dirasmikan oleh Setiausaha Politik Datuk Seri Najib Tun Razak, Dato' Dr. Haji Mohd Shafei Abdullah. Walaupun terdapat banyak program pada pagi tersebut, beliau tetap hadir. Beliau juga amat terharu dengan kehadiran peserta yang amat memberansangkan dan berharap program sebegini dapat diteruskan.

Antara peserta yang hadir dari GPMS Cawangan Khas Kolej Islam Antarabangsa (IIC), GPMS Cawangan Khas UIAM, ahli Biro Rakan Muda Masjid Jamek Saad bin Abi Waqqas dan Universiti Kuala Lumpur MIMET.

Yang Di Pertua GPMS Cawangan Wangsa Maju, En. Jais Abdul Karim memberi respons positif dan program ini juga sebagai perintis semangat kepimpinan baru GPMS Cawangan Wangsa Maju. Beliau begitu yakin dengan rombakan barisan kepimpinan GPMS Cawangan Wangsa Maju, ianya akan terus bergerak mantap dan utuh untuk melaksanakan program-program baru di masa akan datang.

Ahli panel yang terlibat dalam program ini didatangkan khas dari UKM iaitu Prof. Madya Datuk Dr. Abdul Halim, CEO Institut Pembangunan dan Penyelidikan Belia Malaysia. Gaya beliau yang bersahaja, tetapi cara penyampaian beliau telah memukau dan mencuit peserta dan ini lebih meyakinkan kami untuk menjemput beliau ke program-program yang akan dilaksanakan di masa akan datang.

Pihak GPMS Cawangan Wangsa Maju ingin mengucapkan Jutaan Terima Kasih kepada Jawatankuasa Masjid Jamek Saad bin Abi Waqqas di bawah pimpinan Tuan Haji Abdull Razak Haji Alias yang telah memberi kerjasama sepenuhnya untuk menjayakan program ini.

Jutaan Penghargaan juga kepada crew-crew yang terlibat dari pihak GPMS Cawangan Khas IIC, UIAM dan Wangsa Maju yang berganding bahu menjayakan program ini. Insyaallah, kerjasama ini akan berterusan dengan semangat kekeluargaan yang kita bina sepanjang program ini.

Tidak dilupa juga khas buat pihak Majlis Perwakilan Pelajar Kolej Islam Antarabangsa (IIC) yang sudi menyertai program ini. Insyaallah, kerjasama ini menjadi titik permulaan untuk kita melaksanakan program-program bersama selepas ini.

Penghargaan juga buat peserta dari Universiti Kuala Lumpur (UNIKL) MIMET yang datang dari Lumut, Perak semata-mata untuk menyertai program ini. Jutaan terima kasih.

Buat semua yang terlibat, jutaan terima kasih ikhlas dari kami GPMS Cawangan Wangsa Maju. Pohon ampun dan maaf jika terdapat kekurangan dan kecacatan sepanjang program ini berjalan. Insyaallah, berkat kerjasama di antara kita, program ini akan menjadi lebih sempurna selepas ini.

Program ini juga telah membangkitkan semangat GPMS Cawangan Wangsa Maju untuk terus berjuang mendidik, memotivasi dan membela anak-anak muda Melayu untuk terus gagah mengharungi arena Pendidikan Negara...

Jutaan Terima Kasih sekali lagi ...

Wednesday, August 5, 2009

DEMONSTRASI HARAM - PELAJAR BAWAH UMUR DAKWA DIUPAH TANPA PENGETAHUAN IBU BAPA

Pihak GPMS Cawangan Wangsa Maju diberitahu bahawa terdapat pelajar sekolah terlibat dalam demonstrasi haram ini. Antara yang terlibat adalah Muhamad Azreen.

Menurut bapanya anaknya, 15 tahun, diperguna untuk menyertai demonstrasi membantah akta ISA pada Sabtu lepas dengan memberi baju merah "untuk menjaga keselamatan." Abdul Aziz Ibrahim, 45, mendakwa anaknya Muhamad Azreen dibawa oleh penganjur dari sebuah parti pembangkang tanpa kebenarannya, lapor Bernama petang ini.

Bagaimanapun, Abdul Aziz dipetik berkata, anaknya dan 25 lagi peserta yang mengikuti rombongan itu terlibat dalam kemalangan jalan raya di Bukit Beruntung, Selangor pada 6 pagi Sabtu lepas. "Anak saya cedera di bahagian mata kanan dan mulut. Pihak penganjur bersikap lepas tangan selepas kejadian itu," katanya kepada pemberita di rumahnya di Butterworth.

Muhamad Azreen - dan mereka yang tercedera - dirawat di Hospital Sungai Buloh dihantar pulang ke rumahnya di Permatang Rawa, pagi Ahad lepas. "Semalam wakil penganjur bawa anak saya ke hospital di sini tetapi hari ini kami terpaksa membawa Azreen sendiri ke hospital untuk pemeriksaan lanjut," Abdul Aziz dipetik berkata. Tambahnya, beliau tidak pernah memberi kebenaran untuk anaknya menyertai sebuah unit dalam parti pembangkang itu atau untuk menyertai demonstrasi itu.

Agensi berita itu tidak menyebut unit terserbut dan parti pembangkang yang dimaksudkan tetapi beliau dipercayai merujuk Unit Amal PAS yang memakai baju merah pada hari demonstrasi, 1 Ogos lalu. Muhamad Azreen pula berkata 20 daripada peserta rombongan yang terdiri pelbagai lapisan umur itu adalah penduduk kampung dan enam lagi merupakan orang luar. "Saya bayar RM35 untuk mengikuti rombongan itu dan saya diberitahu oleh penganjur bahawa kami pergi untuk menjaga keselamatan dan kami diberi sehelai baju berwarna merah untuk dipakai," katanya, seorang pelajar SM Permatang Rawa.

Beliau, yang menyertai unit itu sejak tiga tahun lepas, berkata dua peserta rombongan itu mengalami kecederaan teruk dan dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh. ADUN Seberang Jaya, Arif Shah Omar Shah, yang melawat Muhamad Azreen di rumahnya, menasihati ibu bapa membuat laporan polis jika mendapati anak mereka dipergunakan untuk tujuan demonstarsi itu.

Diminta mengulas dakwaan ini, Pemuda PAS menyatakan ia akan menyiasat sebelum mengeluarkan kenyataan. Dewan itu juga menegaskan keanggota Unit Amal Pemuda PAS, yang melibatkan remaja, adalah sukarela, termasuk tiada paksaan untuk menyertai perhimpunan anti-ISA.

GPMS Cawangan Wangsa Maju berharap pihak polis akan menyiasat dakwaan bahawa pelajar sekolah diupah untuk menyertai demonstrasi haram ini. Pelajar sekolah tidak sewajarnya didedahkan dengan elemen-elemen sebegini. Mereka sepatutnya diberi peransang dan dorongan untuk belajar dengan tekun demi memajukan diri.

Kami dari pihak GPMS Cawangan Wangsa Maju mengutuk sekeras-kerasnya perkara ini. Polis, sila siasat....


Tuesday, August 4, 2009

DEMONSTRASI HARAM - ANAK MUDA, APA YANG KAMU DAPAT?

Sabtu lepas berlakunya demonstrasi haram anjuran Gerakan Mansuhkan ISA yang dimonopoli parti pembangkang. Crew Editor Blog GPMS Cawangan Wangsa Maju sempat melihat situasi di sekitar Kuala Lumpur kerana kebetulan kami sedang membeli barang-barang persiapan untuk program Bual Bicara : Remaja Dan Masa Depan anjuran GPMS Cawangan Wangsa Maju dengan kerjasama Biro Rakan Muda Masjid Jamek Saad bin Abi Waqqas yang berlangsung pada Ahad lepas (laporan penuh pada hari esok).

Kami juga sempat melihat reaksi anak-anak muda yang terlibat dalam demonstrasi ini. Ada yang menjadi sukarelawan kononnya ingin memastikan demonstrasi haram ini berjalan dengan lancar. Tetapi, mereka pula yang bertindak ekstrim. Adakah ianya berpunca dari pihak polis dan FRU? Bagi kami, pihak polis dan FRU hanya menjalankan tugas. Pihak polis sendiri telah mengarahkan mereka bersurai. Tetapi, kedegilan mereka telah memaksa polis dan FRU bertindak dengan melepaskan gas pemedih mata. Adakah ianya berpunca dari pihak polis?

Nasihat GPMS Cawangan Wangsa Maju, hentikanlah demonstrasi haram. Dapatkan permit dari pihak polis terlebih dahulu. Cari tempat yang lebih sesuai untuk berkumpul, Insyaallah pihak polis akan luluskan. Ini tempat awam. Jangan ganggu peniaga dan orang ramai dek kerana keinginan kamu untuk menghentam kerajaan.

Jangan mudah teperdaya dengan pengaruh orang-orang tertentu. Berfikir sebelum melaksanakan sebarang keputusan. Orang-orang ini mengarahkan kita berkumpul? Untuk apa? Mansuh ISA? Tapi adakah lokasi perhimpunan ini kena pada tempatnya? Adakah kamu tidak terfikir nasib peniaga-peniaga dan orang ramai yang tidak terlibat turut menjadi mangsa? Adakah anda tidak terfikir tentang masa depan anda jika terlibat dengan demonstrasi yang tidak mendapat permit dari pihak polis? Ianya satu aktiviti yang melanggar undang-undang negara.

Anak-anak muda tidak sewajarnya terlibat dengan satu demonstrasi yang tidak mendapat permit dari pihak polis terutamanya dari kalangan mahasiswa IPT. Kami tidak kisah jika anda ingin bercakap soal kebebasan bersuara tetapi biarkan ianya kena pada lokasinya. Ini di tempat awam, tempat aktiviti-aktiviti perniagaan. Sudah tentu permit ini tidak diluluskan.

Ingatlah. Ini bukannya soal ISA atau apa-apa akta di bawah perlembagaan negara. Ini soal maruah dan masa depan anak-anak muda seperti kita. Janganlah sia-siakan masa depan anda dengan menyertai demonstrasi haram. Ini satu budaya yang tidak sihat. Hentikan semua ini. Kita boleh bersuara kerana ini negara demokrasi. Tetapi gunakanlah saluran yang betul dan lebih profesional. Demonstasi, tidak salah. Tetapi pastikan kena pada lokasinya dan mendapat permit dari pihak polis. Jangan buat di tempat awam. Itu sahaja.

Monday, August 3, 2009

1Malaysia BELA MAHASISWA - 50 RIBU SISWA IPTA DAPAT SAHAM PERCUMA 1MALAYSIA

Seramai 50,000 pelajar tahun pertama di IPTA dihadiahkan 100 unit percuma Amanah Saham 1Malaysia, demikian diumumkan Perdana Menteri sewaktu pelancaran tabung itu. Datuk Seri Mohd Najib Razak berkata pemberian saham tersebut melibatkan mereka yang mendaftar di institusi berkenaan pertengahan tahun ini.

"Ia merupakan satu pertimbangan khas, yang pencen pun dapat, dan yang bakal mewarisi kepimpinan negara pun dapat pertimbangan khas itu," katanya sewaktu merasmikan saham amanah terbaru bersempena nama slogannya "1Malaysia. Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" di Kuala Lumpur pagi ini.

Tambahnya, saham amanah ini bernilai 10 bilion unit dengan harga RM1 seunit. Perdana Menteri berkata peruntukan saham tersebut mampu untuk memberi suntikan kepada ekonomi negara dan pasaran ekuiti di Malaysia.

"Saya berterima kasih kepada Permodalan Nasional Berhad kerana dengan pelancaran ini telah dapat merealisasikan janji saya kepada rakyat yang dibuat semasa ucapan sempena 100 hari saya sebagai perdana menteri, tiga minggu yang lalu," katanya.

Permohonan saham tersebut terbuka untuk dilanggan oleh rakyat Malaysia yang berumur atas 18 tahun bermula pada 5 Ogos ini, tambahnya.

GPMS Cawangan Wangsa Maju mengucapkan Jutaan Terima Kasih kepada Perdana Menteri kita. Semoga usaha ini akan berterusan. Alhamdulillah...