Monday, August 17, 2009

PRK Permatang Pasir - JANGAN BIADAP KETIKA BERKEMPEN

GPMS Cawangan Wangsa Maju ingin mengambil kesempatan di sini mengucapkan Salam Berkempen buat 2 parti yang bertanding di DUN Permatang Pasir iaitu PAS dan BN. Pertembungan 2 parti yang mewakili kaum Islam dan Melayu ini di harap akan berkempen secara berhemah dan tidak melakukan sebarang masalah.

Apa yang berlaku pada sesi Penamaan Calon pada pagi tadi amat dikesali. MT PKR, N.Gobalakrishnan bertindak menimbulkan kekecohan menyebabkan pihak polis terpaksa mengambil tindakan. Insiden inilah yang amat dikesali kami setiap kali berlakunya pilihanraya kecil.

Kami juga menasihati para pelajar IPT agar tidak mengambil bahagian dalam mana-mana kempen atau perhimpunan tanpa permit dari pihak polis. Anda perlu ingat, masa depan anda adalah lebih penting. Pastikan anda tidak terlibat dalam mana-mana perhimpunan sebegini.

Salam berkempen..

Saturday, August 15, 2009

SALAM ULANG TAHUN GPMS - BANGKIT TERUS BERJUANG DEMI ANAK-ANAK MUDA MELAYU

Jika 61 tahun yang lalu, pada 14 dan 15 Ogos 1948, tertubuhnya Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) . Ia diilhamkan dan ditubuhkan oleh Bapa Pendidikan Negara, Y.Bhg Aminuddin Baki bersama beberapa pendukung GPMS yang lain termasuklah isteri Bekas Perdana Menteri Malaysia ke 4, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali.

Bermula dengan ikrar kebangkitan 4Sedar yang menjadi wadah perjuangan GPMS iaitu : -

SEDAR, atas perlunya disatukan tenaga sekalian pelajar Melayu di Semenanjung Tanah Melayu

SEDAR, akan kemunduran kami di alam pengetahuan

SEDAR, atas kewajipan kami untuk meninggikan darjat pengetahuan bangsa

SEDAR, maju mundur, kaya miskin dan hina mulianya bangsa terletak di tangan kami.

Dari ikrar yang dibaca, jelas menerangkan, apa jua yang berlaku ke atas anak-anak muda umat Melayu adalah tanggunggjawab warga GPMS sepenuhnya.

Kini, GPMS masih aktif. Perjuangan kita semakin mencabar. Kami dari GPMS Cawangan Wangsa Maju sentiasa memastikan GPMS terus bergerak sebagai nadi para pelajar dan belia Melayu. Perjuangan berlandaskan 2 perkara... Agama, Bangsa dan Negara.

Marilah sama-sama kita terus berjuang meningkatkan kesedaran terhadap anak-anak muda Melayu masa kini untuk terus meningkatkan kemajuan diri, memperkasa semangat untuk memajukan Bangsa, Agama dan Negara.

Cabaran kita semakin hari semakin getir. Maruah kita semakin tercalar. Adakah kita harus biarkan anak-anak Melayu merempat di Negara sendiri di masa akan datang? Hari ini, di masa ini, kita harus nekad, teruskan usaha, perkasakan program-program kita, demi anak-anak Melayu, yang menjadi wadah kesinambungan kemajuan di masa akan datang.

Bangkitlah wahai warga GPMS.. Bersatulah. Kerana masa kita semakin suntuk.


Thursday, August 13, 2009

AL FATIHAH BUAT ASRI RABBANI - PERGI TAK KEMBALI

Berita mengejut yang kami terima bahawa seorang insan yang sangat dikagumi, iaitu Asri Ibrahim telah kembali ke rahmatullah pada pukul 11 pagi tadi. Beliau merupakan vokalis kumpulan Rabbani yang tidak pernah berputus asa dalam memperjuangkan dakwah melalui irama nasyid.

Penyanyi utama kumpulan itu pengsan kira-kira 10.30 pagi setelah 20 minit menyertai program Syahadah musim kelima di Angkasapuri dan seterusnya dikejarkan ke hospital berkenaan. Menurut Mohd Asri Ubaidullah, seorang anggota Rabbani yang ditemui di hospital swasta itu, allahyarham mengalami muntah-muntah dan mengadu sakit sejak Subuh tadi.

Allahyarham kemudian mengambil susu, madu dan limau untuk mengurangkan kesakitan tersebut, tambah anggota Rabbani itu. Sewaktu tiba di stesen RTM untuk program tersebut, Asri sudah dalam keadaan lemah tetapi berkeras ingin menjayakan rakaman program tersebut yang akan disiarkan pada bulan Ramadhan tidak lama lagi.

Difahamkan, jenazah beliau akan dibawa Bukit Lancong dekat Shah Alam selepas ini.Ibu allahyarham, yang berkerusi roda, kelihatan masuk ke Hospital Pantai, jam 1 tengah hari tadi.

Sebelumnya, turut menziarahi jenazahnya di situ, pegawai-pegawai Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. Asri, yang dilahirkan pada 3 Ogos 1969 di Klang, Selangor, menyertai Rabbani sejak ia ditubuhkan pada 1 Mac 1997 dengan dianggotai lapan lagi anggota.

Beliau sebelum itu bersama satu lagi kumpulan nasyid terkenal Nadamurni. Selain Asri dan Mohd Asri, kumpulan nasyid itu turut disertai Azadan Abdul Aziz, Muhammad Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Mohamad Afandi Shahbudin, Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin dan Zulkiflee Azman.

Lebih 12 tahun dalam industri ini, Rabbani menghasilkan 19 album, antaranya Arah: Dari Mana Ke Mana (1997), Pergi Tak Kembali (1999), Intifada (2000), Yalla Beena (2004) dan yang terbaru Nostalgia Nada Murni.

Pihak GPMS Cawangan Wangsa Maju mengucapkan Salam Takziah buat keluarga beliau. Semoga Rabbani tidak akan terkubur walaupun kehilangan insan bernama Asri. Sedih dan sebak mendengar kematian beliau kerana kekentalan beliau dalam memperjuangkan dakwah Islam melalui nasyid tidak dapat dinafikan. Pelbagai cara dan pendekatan diketengahkan bagi mendekati masyarakat melalui Nasyid.

Semoga rohnya dicucuri Allah swt.. Al Fatihah.


Wednesday, August 12, 2009

PENGANUT KATHOLIK DAKWA 'AL ISLAM' HINA KRISTIAN - SUARAKAN PANDANGAN ANDA DI BLOG KAMI

Selepas membuat laporan polis lebih sebulan, penganut Katholik masih tidak berpuas hati dengan kelewatan tindakan terhadap wartawan Al-Islam yang didakwa menghina agama itu.

"Sampai hari ini tidak ada apa-apa. Sedangkan kita dimaklumkan siasatan telah selesai. Tidak dengar pula hendak dakwa (wartawan itu) atau bagaimana," kata seorang penganut agama itu Sudhagaran Stanley.

Pada 8 Julai lalu, Sudhagaran dan rakannya Joachim Francis Xavier membuat aduan polis berhubung isu penyamaran wartawan majalah itu Muhd Ridwan Abdul Jalil sebagai penganut Katholik bagi menyiasat khabar angin terdapat usaha memurtadkan gadis Islam.

Tindakan Muhd Ridwan mengikuti upacara Kristian di dua gereja di Kuala Lumpur – termasuk memakan roti suci yang disuapkan oleh paderi dan memuntahkannya kembali untuk diambil gambar – dianggap menghina Katholik dan menimbulkan provokasi.

Dihubungi Malaysiakini pagi ini, Sudhagaran berkata, beliau dan Persatuan Peguam Katholik akan mengunjungi Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya pada Isnin depan bagi menyatakan kekecewaan mereka itu.

Satu memorandum mendesak tindakan segera berhubung kes itu akan dikemukakan kepada kementerian, tambah Sudhagaran.

Mengulas siasatan terhadap aduan mereka di balai polis daerah Timur Laut, Pulau Pinang, Sudhagaran berkata, beliau telah dimaklumkan bahawa siasatan kes itu sudah selesai.

"Cuma, katanya, hanya tunggu arahan atasan (untuk tindakan selanjutnya)," kata Sudhagaran.

Artikel kontroversi itu "Tinjauan Al Islam Dalam Gereja: Mencari Kesahihan Remaja Melayu Murtad" diterbitkan dalam edisi Mei lalu. Artikel itu yang menceritakan pengalaman wartawan di gereja dimuatkan di halaman 28-30 yang menfokuskan isu "Al-Islam Masuk Gereja Cari Gadis Bertudung Murtad".

Bagaimanapun siasatan majalah tersebut tidak menemui isu murtad seperti khabar angin yang sering kedengaran dalam masyarakat Islam.

"Apa pun, sepanjang tinjauan yang dibuat, kami dapati dakwaan-dakwaan yang mengatakan ramai remaja Melayu dimurtadkan di gereja-gereja pada setiap hari Ahad tidak kami temui. Yang ada hanyalah mereka yang berwajah Melayu tetapi berasal dari Sabah yang menganut Kristian sejak lahir," artikel itu dipetik. Penulis turut memuji akhlak penganut Kristian di gereja.

"Sewaktu kami membuat tinjauan ini, kami berasa amat kagum melihat akhlak mereka yang hadir. Mereka sangat menghormati satu sama lain dan sangat mudah mesra kerana mereka sangat berpegang kepada konsep kasih sayang dan hormat menghormati," tulis Muhd Ridhwan.

"Mereka turut berjabat tangan dan diikuti dengan senyuman yang manis dengan kami apabila paderi memberi arahan ramah dan mesralah bersama saudara-saudaramu."

GPMS Cawangan Wangsa Maju akan mengulas lanjut isu ini selepas ini. Kami inginkan pandangan dari masyarakat Islam di Malaysia berkenaan isu ini. Suarakan pandangan anda melalui komen dari artikel ini..

Tuesday, August 11, 2009

H1N1 SEMAKIN SERIUS - BERDOA PADA ALLAH, PERHEBATKAN KEMPEN

Jumlah kematian akibat selesema A (H1N1) meningkat kepada 38 orang apabila enam lagi kematian dicatatkan dalam tempoh 24 jam. Jumlah keseluruhan naik mendadak kepada 2,253 kes apabila 270 kes baru - rekod tertinggi dalam satu hari - dilaporkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Semalam enam kematian, sementara kelmarin lapan kematian dilaporkan - termasuk kes-kes yang baru disahkan dan belum dilaporkan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan 5,500 hingga 28,000 rakyat Malaysia akan mati dalam wabak selesema itu jika 20 peratus daripada 27.7 juta penduduk negara ini dijangkiti virus A (H1N1).

Unjuran ini dengan mengambil kira andaian kadar kematian antara 0.1 hingga 0.5 peratus daripada 5.5 juta orang yang dijangkiti, kata pengarah penyakit berjangkit WHO Dr Tee Ah Sian hujung bulan lalu.

Pihak GPMS Cawangan Wangsa Maju meminta kesemua Mahasiswa IPT yang beragama Islam mengadakan Majlis Solat Hajat, meminta pertolongan dari Allah agar penyakit ini dapat dihentikan serta merta. Penyakit H1N1 nampak semakin serius sehingga meragut nyawa masyarakat yang menjangkitinya.

Kempen-kempen pencegahan wajar diperhebatkan lagi. GPMS Cawangan Wangsa Maju mencadangkan kesemua GPMS Cawangan dan Cawangan Khas melancarkan kempen 'Bunuh H1N1' agar masyarakat sedar bahayanya penyakit ini.

Kami mendoakan kepada semua rakyat Malaysia agar sentiasa dilindungi dari wabak penyakit ini. Pada umat Islam yang telah meninggal dunia akibat wabak ini, sama-sama kita sedekahkan Al Fatihah buat mereka. Semoga Allah melindungi kita semua dari sebarang penyakit.


Monday, August 10, 2009

ISU ARAK DI SELANGOR - RONNIE LIU KAKI BOTOL, PAS PERLU LEBIH BERANI

Sejak akhir-akhir ini kecoh kedengaran isu arak di Negeri Selangor. Berlaku juga pertelingkahan mulut antara pemimpin-pemimpin Negeri Selangor mengenai isu arak. Exco DAP, Ronnie Riu mempertahankan desakan agar arak yang dirampas oleh sebuah Majlis Perbandaran dipulangkan semula. Heh?

Teresa Kok pula dengan bangganya menggelarkan Ronnie Liu seorang Pejuang dan Hero Bukan Melayu dan Islam. Apa semua ini? PAS, anda sewajarnya lebih lantang dan berani bersuara mengenai isu ini. Anda mempunyai pengaruh yang kuat dalam Kerajaan Negeri kerana 2 Exco dari Selangor dipegang dari parti anda. Jangan tunggu sehingga orang-orang ini terus menguasai minda anda. Lawan..... Jangan terlalu sayangkan Pakatan sehingga nyawa Agama dan Bangsa kita dipijak.

GPMS Cawangan Wangsa Maju ingin menegaskan disini, kami mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Ronnie Liu. Baru rampas sebuah Kedai Serbaguna, sudah melenting. Apa? Sudah tiada arak di tempat-tempat lain untuk anda minum? Suci sangatkah air ini sehingga dipertahan beliau seperti orang Kristian mempertahankan Holy Water mereka?

Kami menghormati jika kaum-kaum lain memerlukan air ini untuk Majlis-Majlis Keagamaan. Tetapi, kenapa isu rampasan hanya melibatkan sebuah Kedai Serbaguna, Ronnie Liu melenting seolah-olah Kerajaan Negeri Selangor terus hendak mengharamkan arak? Itu persoalannya.

Dan 1 lagi persoalan yang timbul, Bagaimana PAS hendak mengharamkan penjualan arak secara terbuka di Selangor jika ini berlaku?

Friday, August 7, 2009

Program Bual Bicara Akan Diteruskan Khas Buat Belia - GPMS WANGSA MAJU TERUS BERJUANG

Pagi Ahad lepas telah berlangsungnya Program Bual Bicara : Remaja dan Masa Depan anjuran GPMS Cawangan Wangsa Maju dengan kerjasama Biro Rakan Muda Masjid Jamek Saad bin Abi Waqqas. Program ini telah berlangsung di Masjid tersebut. Alhamdulillah, seramai 130 peserta telah hadir dan memberi reaksi positif terhadap program tersebut.

Program ini telah dirasmikan oleh Setiausaha Politik Datuk Seri Najib Tun Razak, Dato' Dr. Haji Mohd Shafei Abdullah. Walaupun terdapat banyak program pada pagi tersebut, beliau tetap hadir. Beliau juga amat terharu dengan kehadiran peserta yang amat memberansangkan dan berharap program sebegini dapat diteruskan.

Antara peserta yang hadir dari GPMS Cawangan Khas Kolej Islam Antarabangsa (IIC), GPMS Cawangan Khas UIAM, ahli Biro Rakan Muda Masjid Jamek Saad bin Abi Waqqas dan Universiti Kuala Lumpur MIMET.

Yang Di Pertua GPMS Cawangan Wangsa Maju, En. Jais Abdul Karim memberi respons positif dan program ini juga sebagai perintis semangat kepimpinan baru GPMS Cawangan Wangsa Maju. Beliau begitu yakin dengan rombakan barisan kepimpinan GPMS Cawangan Wangsa Maju, ianya akan terus bergerak mantap dan utuh untuk melaksanakan program-program baru di masa akan datang.

Ahli panel yang terlibat dalam program ini didatangkan khas dari UKM iaitu Prof. Madya Datuk Dr. Abdul Halim, CEO Institut Pembangunan dan Penyelidikan Belia Malaysia. Gaya beliau yang bersahaja, tetapi cara penyampaian beliau telah memukau dan mencuit peserta dan ini lebih meyakinkan kami untuk menjemput beliau ke program-program yang akan dilaksanakan di masa akan datang.

Pihak GPMS Cawangan Wangsa Maju ingin mengucapkan Jutaan Terima Kasih kepada Jawatankuasa Masjid Jamek Saad bin Abi Waqqas di bawah pimpinan Tuan Haji Abdull Razak Haji Alias yang telah memberi kerjasama sepenuhnya untuk menjayakan program ini.

Jutaan Penghargaan juga kepada crew-crew yang terlibat dari pihak GPMS Cawangan Khas IIC, UIAM dan Wangsa Maju yang berganding bahu menjayakan program ini. Insyaallah, kerjasama ini akan berterusan dengan semangat kekeluargaan yang kita bina sepanjang program ini.

Tidak dilupa juga khas buat pihak Majlis Perwakilan Pelajar Kolej Islam Antarabangsa (IIC) yang sudi menyertai program ini. Insyaallah, kerjasama ini menjadi titik permulaan untuk kita melaksanakan program-program bersama selepas ini.

Penghargaan juga buat peserta dari Universiti Kuala Lumpur (UNIKL) MIMET yang datang dari Lumut, Perak semata-mata untuk menyertai program ini. Jutaan terima kasih.

Buat semua yang terlibat, jutaan terima kasih ikhlas dari kami GPMS Cawangan Wangsa Maju. Pohon ampun dan maaf jika terdapat kekurangan dan kecacatan sepanjang program ini berjalan. Insyaallah, berkat kerjasama di antara kita, program ini akan menjadi lebih sempurna selepas ini.

Program ini juga telah membangkitkan semangat GPMS Cawangan Wangsa Maju untuk terus berjuang mendidik, memotivasi dan membela anak-anak muda Melayu untuk terus gagah mengharungi arena Pendidikan Negara...

Jutaan Terima Kasih sekali lagi ...