Saturday, August 15, 2009

SALAM ULANG TAHUN GPMS - BANGKIT TERUS BERJUANG DEMI ANAK-ANAK MUDA MELAYU

Jika 61 tahun yang lalu, pada 14 dan 15 Ogos 1948, tertubuhnya Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) . Ia diilhamkan dan ditubuhkan oleh Bapa Pendidikan Negara, Y.Bhg Aminuddin Baki bersama beberapa pendukung GPMS yang lain termasuklah isteri Bekas Perdana Menteri Malaysia ke 4, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali.

Bermula dengan ikrar kebangkitan 4Sedar yang menjadi wadah perjuangan GPMS iaitu : -

SEDAR, atas perlunya disatukan tenaga sekalian pelajar Melayu di Semenanjung Tanah Melayu

SEDAR, akan kemunduran kami di alam pengetahuan

SEDAR, atas kewajipan kami untuk meninggikan darjat pengetahuan bangsa

SEDAR, maju mundur, kaya miskin dan hina mulianya bangsa terletak di tangan kami.

Dari ikrar yang dibaca, jelas menerangkan, apa jua yang berlaku ke atas anak-anak muda umat Melayu adalah tanggunggjawab warga GPMS sepenuhnya.

Kini, GPMS masih aktif. Perjuangan kita semakin mencabar. Kami dari GPMS Cawangan Wangsa Maju sentiasa memastikan GPMS terus bergerak sebagai nadi para pelajar dan belia Melayu. Perjuangan berlandaskan 2 perkara... Agama, Bangsa dan Negara.

Marilah sama-sama kita terus berjuang meningkatkan kesedaran terhadap anak-anak muda Melayu masa kini untuk terus meningkatkan kemajuan diri, memperkasa semangat untuk memajukan Bangsa, Agama dan Negara.

Cabaran kita semakin hari semakin getir. Maruah kita semakin tercalar. Adakah kita harus biarkan anak-anak Melayu merempat di Negara sendiri di masa akan datang? Hari ini, di masa ini, kita harus nekad, teruskan usaha, perkasakan program-program kita, demi anak-anak Melayu, yang menjadi wadah kesinambungan kemajuan di masa akan datang.

Bangkitlah wahai warga GPMS.. Bersatulah. Kerana masa kita semakin suntuk.


1 comment:

Anonymous said...

SLM TUAN..TERUSKAN PERJUANGAN!. PERJUANGAN YG IKHLAS PASTI AKAN DIBALAS DGN KEJAYAAN. ANAK2 MUDA SUDAH BANGKIT MENYERTAI PERJUANGAN MEMPERTAHANKAN NEGARA BERKAT PERJUANGAN TUAN DAN RAKAN2 YG LAIN JUA