Wednesday, August 19, 2009

PPSMI - GURU SEKOLAH AMBIL KESEMPATAN?

Kementerian Pelajaran memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap guru-guru yang mengambil kesempatan untuk mengajar matapelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia sepenuhnya sebelum 2012.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, guru yang didapati berbuat demikian, akan diberi surat amaran. Berikutan itu, beliau meminta guru besar dan pengetua sekolah supaya memantau perkara itu.

Beliau mengulas rungutan ibu bapa yang bimbang apabila diberi pilihan dwi-bahasa, para guru akan mengajar dua matapelajaran tersebut sepenuhnya dalam bahasa Malaysia. Bagaimanapun, Alimuddin berkata, mungkin wujud kekeliruan berhubung pemansuhan dasar Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI)

Menjelaskan perkara itu, beliau berkata, di peringkat UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah), pengajaran sains dan matematik akan terus diajar dalam dwi-bahasa sehingga 2016; PMR (Peperiksaan Menengah Rendah) sehingga 2013 dan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) sehingga 2015.

Alimuddin berkata pengajaran matapelajaran Sains dan Matematik akan diajar dalam bahasa Malaysia sepenuhnya mulai tahun 2017. Mengenai wabak influenza A (H1N1), beliau berkata lebih 100 sekolah telah ditutup selama seminggu akibat penularan penyakit tersebut.

Bagaimanapun, Alimuddin menegaskan bawa tidak ada sekolah yang ditutup dua kali kerana penularan H1N1. Berikutan itu, beliau berkata, arahan telah dikeluarkan meminta guru-guru yang mengajar subjek pertama supaya memeriksa tanda-tanda jangkitan H1N1 di kalangan murid mereka.

Para pelajar yang dikesan mempunyai tanda-tanda penyakit tersebut, akan terus dihantar ke hospital, katanya. Menurutnya lagi, setakat ini, kementeriannya menerima peruntukan RM2.6 juta membekalkan penutup hidung dan mulut, alat penyukat suhu dan cecair pembersih tangan ke sekolah.

Bagaimanapun, Alimuddin mengakui peruntukan itu tidak mencukupi dan di sekolah-sekolah yang ramai pelajar, mereka terpaksa membelinya sendiri.

No comments: